Menyingkap pandangan baru berkenaan pro dan kontra wanita/muslimah menyanyi. Pandangan ini mungkin sudah lama tapi baru diketengahkan. Persoalan yang menarik untuk dikupas dan dibahaskan. Ikuti perkongsian ilmu bersama Ustaz Zul Ketua Pemuda Kawasan berikutan program yang bakal dianjurkan oleh Nisa' akan datang.
Atau pendekatan Ahli Usuluddin dengan menyatakan ‘Tak boleh. Kalau engkau masuk Islam, tapi terus mencuri maka engkau akan berdosa dan akan masuk dalam neraka.’Dalam kes ini, Nabi saw menggunakan pendekatan dakwah dengan mengatakan ‘Boleh. Syaratnya engkau jangan berbohong.’Seronoknya si kafir ini bila mendengar jawapan Nabi saw lalu ia memeluk Islam. Tatkala ia hendak mencuri ia teringat bagaimana kalau Nabi saw bertanya apakah ia ada mencuri atau tidak hari ini. Baginya tentu rasa malu untuk mengaku mencuri sebab sudah memeluk agama Islam. Sedangkan dia terpaksa bertemu Nabi saw setiap hari kerana mahu belajar Islam. Maklumlah baru masuk Islam. Bila bertemu Nabi saw, tentu Nabi akan bertanya, hari ni ada mencuri atau tidak. Akhirnya si muallaf itu terus berhenti mencuri. Inilah kehebatan pendekatan dakwah yang memerlukan kebijaksanaan yang cukup tinggi.
Pandangan terhadap konsert terutama dalam isu penyanyi wanita yang tidak dibenarkan menyanyi
Terlebih dahulu perlu untuk dijelaskan bahawa pandangan yang akan dikemukakan ini berdasarkan pendekatan dakwah dengan mengambil kira hukum Islam. Mengenai konsert, ianya tidak menjadi satu kesalahan. Yang salahnya ialah perlaksanaan samada dari sudut percampuran lelaki dengan perempuan, masa persembahan, lirik lagu serta gerak badan yang melampau. Adapun penyanyi wanita, mereka boleh terus menyanyi asalkan mereka bersedia menjaga adab sopan dan akhlak Islam sesuai dengan kewanitaan mereka. Antaranya ialah mereka mesti menutup aurat dan tiada lenggang lengguk yang mengiurkan.
Bagaimana pula dengan suara wanita yang dikatakan aurat
Ya. Persoalan inilah yang menarik untuk dibahaskan. Sebenarnya aurat wanita jika mengikut Ulama’ Muktabar termasuk Al Imam An Nawawi, ianya tidak aurat. Namun begitu, ada juga yang menyatakan aurat. Cuma ianya menjadi perbahasan apabila wanita menggunakan suara untuk menyanyi.
Dalam hal ini pandangan Dr. Yusuf Al Qardhawi dan Dr. Abdul Karim Zaidan di mana mereka berdua menyatakan harus wanita menyanyi di khalayak ramai asalkan mereka menjaga adab-adab iaitu menutup aurat dan tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah. Hujahnya ialah Nabi saw pernah membiarkan hamba wanita menyanyi sedangkan pada masa itu Abu Bakar r.a menegur Aisyah dengan berkata, suara syaitan apa ini? Jadi, dalam konteks dakwah, tidak ada salah kalau dibenarkan wanita menyanyi? Apa yang perlu untuk dibimbangkan sekiranya kita terlalu ‘ketat’ dalam masalah begini maka ia akan merugikan Islam dan dakwah Islam sekaligus menjadikan Islam kelihatan bukan satu Ad Din yang meraikan naluri manusia dengan memandu naluri manusia mengikut acuan Islam. Naluri manusia terutama anak muda ialah mereka mahukan kepada hiburan. Jadi kita perlu untuk mengemukakan bentuk hiburan mengikut acuan Islam. Jangan terlalu membantah dan menyekat program hiburan. Kalau ini berterusan, anak muda akan takut dan lari dari kita dan Islam itu sendiri kerana mereka akan berpandangan apabila mengikut Islam naluri akan tersekat dan terhalang...namun yang sebenarnya Islam tidak menyekat naluri manusia malah menyediakan saluran untuk menzahirkannya
Bentuk konsert yang paling minimum dan wajar diadakan
Bentuk konsert yang boleh diketengahkan buat masa ini ialah seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan tempohari semasa Mawi mengadakan persembahan. Waktu itu, M.Nasir juga dijemput. Cuma, eloklah kalau dibenarkan juga penyanyi wanita mengadakan persembahan dengan syarat mereka menutup aurat dan tidak menari berlebihan. Hidupkan syiar dengan mengadakan slot di mana diadakan juga satu ceramah atau tazkirah ringkas antara beberapa lagu dan adakan juga zikir munajat. Sebagai penganjur kita yang perlu untuk menetapkan peraturan program bukannya mengikut saja kehendak penonton. Ceramah atau tazkirah pula, hendaklah menjurus kepada persoalan yang boleh menyedarkan hadirin tentang apa tujuan mereka hidup, untuk apa mereka dihidupkan dan ke mana mereka akan pergi. Dengan cara ini, jiwa anak muda yang kosong akan terisi dan terusik dek ceramah yang menyentuh tentang kehidupan hakiki. Dengan adanya tazkirah dan ceramah serta zikir munajat, hidayah akan menyelinap masuk ke dalam hati mereka. Pada masa itu, mereka akan dapat merasai kepuasan dan ketenangan jiwa yang luar biasa mengalahkan kepuasan yang diperolehi menerusi hiburan ‘menyanyi’ semata-mata.
Tazkirah dan ceramah serta zikir munajat, Insya Allah mampu mengetuk pintu hati mereka untuk menghayati ajaran Islam. Maknanya kita kena ambil peluang di atas kehadiran anak muda untuk mendengar nyanyian dengan menyelitkan sedikit tazkirah dan zikir munajat. Di kala itu juga mereka mula faham bahawa Islam tidak melarang untuk berhibur tetapi berhibur tidak boleh berlebihan sebagaimana garam tidak boleh berlebihan dalam makanan. Kelak ia masin langsung tidak boleh dimakan atau ia akan merosakkan kesihatan. Begitulah juga hiburan dalam Islam tidak boleh berlebihan kelak ia akan merosakkan jiwa dan masyarakat. Hiburan hanya sekadar untuk menghilangkan kebosanan dan kepenatan jiwa, badan dan fikiran.
Mungkin mereka bosan dan penat dalam menjalani hidup mereka, tambahan pula dengan tekanan dari sudut ekonomi angkara rasuah dan penyelewengan pemimpi. Jadi mereka nakkan kepada hiburan. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan alternatif ini.
Dalam ilmu dakwah, apakah pertimbangan yang di ambil kira sehingga kadang-kadang semacam ianya bertentangan dengan hukum
Pertimbangan dalam berdakwah ialah kita hendaklah meminimumkan kejahatan dan kemungkaran diperingkat awal, untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum di peringkat akhirnya. Banyak di kalangan kita begitu ghairah untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum seawal dan secepat mungkin, yang akhirnya langsung tak dapat apa-apa. Maknanya kita perlu bijak mencongak sifir. Contohnya cuba kita lihat pada jawapan Nabi saw bila ditanya oleh lelaki kafir, apakah boleh saya masuk Islam tetapi saya nak terus mencuri. Nabi saw kata boleh. Syaratnya jangan menipu. Seolah-olah Nabi saw melawan hukum. Dalam hal ini, jika Nabi saw kata tidak boleh maka mungkin si lelaki itu akan terus kekal dalam kekufuran. Inilah yang dikatakan ‘meminimumkan kejahatan’. Namun begitu, Nabi saw tetap menaruh harapan agar si lelaki itu berubah perangai menjadi insan yang soleh.
Oleh kerana itu Nabi saw memberi syarat ‘jangan menipu’. Maksudnya oleh kerana lelaki tu sudah memeluk Islam maka dia perlu sentiasa hadir majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Di situlah lelaki itu akan menghirup hidayah ilahi. Sudah tentu Nabi saw akan bertanya setiap hari, apakah beliau mencuri pada hari tersebut. Tentunya beliau malu untuk menipu sekiranya beliau ada mencuri. Sebab Nabi saw sudah memberi syaratnya iaitu jangan menipu. Bermula dari itulah maka beliau terus meninggalkan kerja mencuri. Inilah yang dikatakan ‘kebaikan maksimum diakhirnya’. Dalam konteks konsert seperti yang dicadangkan tadi, kita cuba meminimumkan kemungkaran dalam konsert. Caranya ialah mereka diberi syarat menutup aurat dan jangan menari-nari dengan tarian yang melampau, percampuran lelaki dan perempuan harus dibataskan, waktu persembahan juga harus diambil kira dan slot untuk tazkirah perlu diadakan. Akhirnya kita akan dapat melihat ‘kebaikan maksimum’ akan berlaku pada anak muda dan artis kita sekaligus menjadikan kita adalah sebuah kerajaan mesra seni dan budaya, bukannya menolak atau membantah program kesenian dan kebudayaan tanpa mengemukakan altenatifnya. Keuntungan dari sudut dakwah kalau dianjurkan konsert seperti yang dicadangkan. Apa yang nak ditonjolkan kepada anak muda bahawa Islam tidak menghalang manusia untuk berhibur samada menerusi konsert atau teater dan seumpamanya. Jika kita hanya tahu mengambil pendekatan ‘membantah konsert’ bukannya menguruskan konsert mengikut acuan akhlak Islam dan tidak membenarkan langsung wanita menyanyi di khalayak ramai maka ini seolah-olah akan membiarkan mereka untuk mencari altenatif yang lain. Keduanya dari sudut mengubah minda, jiwa dan adab sopan. Dengan adanya ceramah atau tazkirah ringkas serta zikir munajat serta syarat menutup aurat dan tiada lenggang lengguk yang melampau maka berlaku perubahan pada jiwa, minda dan akhlak samada di pihak artis maupun pengunjung. Selama ini ramai beranggapan bahawa tidak menarik sekiranya artis tak mendedahkan aurat dan tidak ada tarian. Tetapi apabila dikenakan pakaian menutup aurat dan tiada pergerakan badan yang melampau maka mereka tetap terhibur juga. Bahkan artis itu sendiri kelihatan lebih ayu dan sopan bila bertudung. Namun harus diingat ini adalah salah satu dari pendekatan Dakwah jangan ia disalah gunakan untuk membuka lebih banyak ruang maksiat. Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment