12/30/09

Peluang saksi fenomena bulan gerhana



Antara teleskop yang digunakan untuk mencerap fenomena bulan gerhana.

Rakyat Malaysia akan berpeluang untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan separa dari pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi pada 1 Januari ini.
Secara amnya, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama bulan melintasi bayang bumi seperti yang ditunjukkan dalam rajah.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa negara (Angkasa), fenomena gerhana tersebut akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada pukul 1.17 pagi waktu Malaysia.
Bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayang penumbra bumi yang kurang gelap.
Menurut kenyataan itu lagi, gerhana yang jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi ( U1 ) bermula pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum pada 3.24 pagi.
Bulan akan keluar dari bayang umbra Bumi ( U4 ) pada pukul 04.53 pagi.
Gerhana masih terus berlaku sehingga pukul 5.28 pagi tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi yang kurang gelap.
Dalam pada itu, sempena fenomena gerhana bulan separa ini, Angkasa dengan kerjasama Masjid Negara akan menganjurkan bersama program gerhana bulan separa di perkarangan luar Masjid Negara (berhampiran dengan tapak ekspo) pada 1 Januari ini bermula pukul 1 pagi hingga 6 pagi.
Orang awam dijemput hadir untuk menyaksikan fenomena ini menerusi beberapa buah teleskop yang disediakan dan ia adalah percuma.
Bagi yang tidak berkesempatan, anda berpeluang menyaksikan siaran langsung gerhana bulan separa di laman web www.angkasa.gov.my pada awal pagi 1 Januari 2010 pukul 1.17 hingga 5.28 pagi.

utusan melayu