3/29/10

Bukti Islam Membenarkan Hiburan

KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.






Ini membuktikan Islam membenarkan hiburan cuma ada syaratnya. Indahnya Islam kerana menyediakan jalan penyelesaian kepada setiap masalah yang ada..tinggal lagi manusia sahaja yang tidak mahu mengamalkannya. Islam is the way of life.

Menyukat Degup Jantung Negara di Memali

Dua minggu lalu saya kembara ke Kedah. Saya ke Memali sebenarnya. Saya menyukat degup jantung negara. Rancangan awalnya saya hanya ingin ke sebuah madrasah di Padang Lumat — berceramah syahdu sambil menderma buku. Tapi, terlanjur dekat, saya terindu ke Memali.

Selama ini saya hanya mendengar sejarah pilunya. Sekelompok pendakwah di situ diwarnakan sebagai penyebar ajaran sesat yang jati.

Dakwaan pedih itulah yang mendorong saya untuk mencari setitis kebenaran seputarnya. Kisah peristiwa Memali berdarah itu sebenarnya tertinggal di simpang jalan. Kita dipamerkan dua buah lukisan abstrak yang sangat berantakan. Dari sisi pemerintah, kelompok pendakwah ini 'sah' penyebar ajaran sesat. Tapi, dari sisi keluarga Allahyarham Ibrahim Libya, kelompok itu diluhuri perjuangan syahid.

Saya cuma ingin menaati pesanan Ka'ab bin Malik. Kebenaran sangat utama. Sahabat Rasulullah s.a.w itu bercakap benar. Ka'ab mengakui kesilapannya terlupa menyertai rombongan pejuangan syahid ke Tabuk. Allah Yang Maha Kuasa memaafkan dosa hambanya itu kerana ketulusan pengakuan hamba tersebut. Saya coba mengunyah iktibar di sebaliknya.

Dalam negara kita kini memang banyak kecuaian sedemikian. Lihatlah - terhidu wabak menyonglap dana; tersebar istilah berubah makna; terpercik ghaib enjin 'jet' sendiri; tertular pejuWang melelong diri.

Apabila kita mula ghairah menimbus kebenaran sebagai kepalsuan — dan serentak — menggali kepalsuan sebagai kebenaran, kita mereputkan akar peribadi bangsa. Jika berlanjut, kita bakal menjadi bangsa yang sebal.

Lihat, kita sudah jarang mengingati Visi 2020. (Adakah lagi wawasan itu?) Kita semakin jarang menyebut agenda pertingkat penduduk ke 40 juta. (Memang adakah dasar rasminya?) Kita mula melupai Islam Hadhari. (Apakah kini memang harinya terhad?)

Sebaliknya, dalam rahsia, kita mula mempertanya tentang kerugian bilionan di bawah kuasa dua orang bekas Perdana Menteri; berhujah tentang pencemaran makna 'royalti'; berdebat tentang mengapa selepas 6 Perdana Menteri Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam?

Oleh : A. Samad Said