7/21/10

KEHIDUPAN INSAN



Di dalam meniti usia kehidupan di dunia ini, pelbagai rencah dan asam garam perisa hidup kita lalui. Bermula tika nafas pertama kita hirup melalui rongga hidung higgalah nafas terakhir kita hembuskan pabila dipanggil oleh Ilahi untuk mengadapNya. Pelbagai kisah demi kisah dijalini sama ada manis atau pahit, ada suka ada duka, dan sebagainya.

Batasan usia di zaman kanak-kanaklah yang paling menggembirakan. Kerana tidak dibebani fikiran dan akal dalam menghadapi sebarang masalah juga cara penyelesaiannya. Namun tika diri digelar sebagai pelajar, kehidupan inilah yang paling merimaskan. Perlu menghadiri tiap kelas dan pengajian, berpakaian seragam juga bermacam-macam peraturan perlu dipatuhi sebagai adunan mendisiplinkan diri. Hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Tidak sunyi dengan 'homework' juga peperiksaan yang menggamit sedikit tekanan dalam satu jangka masa tertentu. Tetapi apabila diri melangkah ke alam pengajian yang lebih tinggi kematangan fikiran perlu dipertonjolkan dan memainkan peranan terpenting. Menidakkan perasaan dalam membuat sebarang keputusan. Lebih menghargai diri demi menjamin kebahagiaan kelak. Punya sasaran, 'aim' dan 'target' disetiap peperiksaan dalam melepasi ujian tersebut demi memperolehi kerjaya yang diimpi harapkan sebelum ini.

Tatkala masuk ke alam kerjaya, pelbagai azam disemat suburkan untuk mempertingkatkan kualiti dan daya kerja dalam mencitakan peningkatan pangkat mahupun pendapatan. Setiap hari berulang-alik dari tempat kediaman ke tempat kerja. Tidak mengira panas dan dingin tanggungjawab dan tugas perlu dilaksanakan bagi menambah dan memperbaiki taraf hidup . Apabila mendapat imbuhan disetiap bulan, agihan dan 'budget' perlu kemas dan teliti. Mana yang hendak digunakan, mana yang hendak disimpan dan mana yang dikirimkan kepada keluarga.

Mungkin bagi lelaki setelah mempunyai kedudukan yang stabil dan selesa dari sudut kewangan, kemampuan, terdetik di hati untuk mencari pasangan hidup. Gadis yang menepati citarasa dipinang dan dinikahi. Terus melayari alam rumah tangga yang menjanjikan seribu satu kemanisan atau sebaliknya yang bergantung kepada kecekapan dan kemahiran 'kapten kapal' dalam mengharungi gelombang lautan yang sangat luas. Nafkah zahir juga batin perlu disediakan kepada si isteri dalam memberi kepercayaan dan keyakinannya kepada kita sebagai pilihan teman hidup. Berusaha mencorakkan kehidupan yang sempurna, lengkap dan bahagia agar usia perkahwinan bertahan lama dan biarlah sampai ke akhir hayat.

Lahir pula cahaya mata sebagai menyeri hidup. Seorang, dua atau seterusnya menjanjikan keperluan hidup yang lebih daripada sebelum ini, Cuma berdua. Sebagai ketua keluarga harus bijak dalam hal ehwal kewangan kekeluargaan untuk mengelakkan masalah timbul kelak. Peranan ibu bapa amat penting dalam proses tumbesaran anak-anak hinggalah mereka mampu berfikir dalam peringkat mumayyiz atau baligh hinggalah keseterusnya. Dapat memberi perangsang dan semangat kepada mereka ketika di dalam kesulitan. Memahami keinginan dan kecenderungan anak dalam membina cita-cita mereka. Memberi panduan dan jalan kepada si anak dalam menuju ke arah cita-cita tersebut. Hinggalah mereka berjaya dengan yang apa yang dicitakan.

Kita pula semakin melewati batasan usia yang kian senja. Duduk di kerusi malas sambil menatap beberapa potret lama yang tergantung. Puas dan mampu tersenyum melihat anak yang 'menjadi' hasil dari didikan dan asuhan kita. Punya kerjaya dan hidup semakin mewah. Dan rutin harian kini hanya berulang ke surau atau masjid yang berhampiran dengan gayutan biji tasbih di tangan. Kerana 'rumah kata pergi kubur kata mari'. Kulit-kulit kian mengendur, tahap kesihatan dan penglihatan juga semakin menurun. Apa lagi yang diharapkan hanyalah kebahagiaan abadi di alam sana.

Penghidupan sebeginikah yang kita citakan??? Yang kita harapkan??? Yang kita impikan???
Bermula dari alam kanak-kanak yang bebas dari pelbagai masalah nan hidupnya penuh ceria dan gembira. Melalui alam remaja yang mejoritinya begelar sebagai pelajar yang perlu lulus disetiap kali peperiksaan. Terus ke alam dewasa yang punya kerjaya, berkahwin, punya anak dan keluarga hinggah ke alam tua.
Dimanakah bakti-bakti dan sumbangan kita terhadap Islam yang kian ditindas dan kian hilang sirna kemuliaannnya? Dimanakah sebahagian hidup kita yang harus diinfakkan untuk Islam???
Adakah kita tergolong dalam seperti cerita di atas???

Hanya mengimpikan sebuah kejayaan di dalam peperiksaan. Hanya mengimpikan pasangan hidup seperti yang diinginkan. Hanya bekerja untuk makan dan pakai. Hanya hendakkan anak-anak berjaya dalam hidup. Melalui hari-hari kehidupan seperti hidup, belajar, kerja, berkeluarga, tua dan terus mati???
Dimanakah tempat dan bilakah masa dan waktunya status kita sebagai seorang da'ie harus diguna pakai??? " Siapa yang mengucap kalimah Lailahaillah, dia seorang da'ie"

Semoga kita yang masih dibekalkan kewarasan fikiran dan 'sedar' dengan tugas dan tanggungjawab sebagai khlaifah di bumi ini perlu memikirkan secara serius. Tidak alpa dan leka dengan status sebagai pelajar, pekerja, ibu bapa. Malah lebih wajar kita bertanya kepada diri, 'aku seorang Islam, aku seorang mukmin, tetapi apakah sumbangan aku kepada agama Allah ini?' Sama-samalah kita fikirkan. Ke manakah arah tuju kita sebenarnya???

'The ball in your hand. The goal in your mind'