2/27/10

MENGURUS ORGANISASI : ANTARA KEFAHAMAN, PENGHAYATAN, FOKUS & KEUTAMAAN

Salam..tukar layout lagi..erm sukarnya mencari yang terbaik apatah lagi menjadi yang terbaik..hampir tidak pasti. Mungkin hanya mimpi..atau angan-angan. Bergerak di lapangan masyarakat mengajar aku bagaimana untuk mengurus perubahan. Berhadapan dengan golongan orang lama dan orang baru. Mengurus organisasi sewajarnya dilakukan dengan sentuhan pengalaman, kefahaman minda dan naluri ikhlas.

Asas kepada pengalaman adalah keberanian untuk mencuba, walaupun perkara itu, baru dalam diari kehidupannya. Tidak semestinya menceburi badan aktiviti atau persatuan baru seseorang itu benar-benar diiktiraf sebagai berpengalaman.

Menimba pengalaman daripada satu aktiviti, dikira cukup berkesan, sekiranya pengalaman aktiviti itu dihayati, difahami dan ditaakul dengan penuh jiwa. Menimba ilmu daripada satu pengalaman dengan penghayatan penuh adalah lebih berkesan daripada menimba ilmu daripada pelbagai aktiviti tanpa menghayati falsafah tersurat dan tersirat di sebalik aktiviti yang ditimba itu.

Sekurang-kurangnya tidak melibatkan kos melepas yang terlalu banyak dari sudut pembahagian masa, tenaga dan material. Dengan penghayatan penuh, sepatutnya pengalaman dari satu aktiviti itu akan membuka ruang minda seseorang itu untuk memikirkan sendiri apa yang bakal dilakukan untuk aktiviti akan datang;berani menerima risiko menjadi ketua setelah dididik menjadi pembantu.

Keberanian memikul tanggungjawab ini akan lebih menguji dan memperkayakan pengalaman seseorang itu apabila berhadapan dengan bermacam ragam karenah anak buah dan organisasi.Lebih penting lagi apabila ketua itu mampu keluar daripada kerangka yang pernah diasaskan oleh ketuanya sebelum ini.

'cakap memang la senang kak..banyak amanah yang terpikul tak mampu saya nak buat semua ni'
Sms seorang adik yang telah aku edit sedikit smsnya..tapi apa yang nak disampaikan sama. 

Keperluan anjakan paradigma ini merupakan prasyarat pemimpin; penentu pemimpin itu berkualiti,visi dan misi jelas. Hakikatnya, kombinasi pengalaman, pemahaman minda dan naluri ini saling berkaitan;sekiranya dihayati sepenuhnya akan menterjemahkan sikap komited, ikhlas, berani, bertanggungjawab, cekal, bermotivasi dan pelbagai sifat-sifat positif lain.

Tanpa penghayatan penuh, meskipun menceburi pelbagai aktiviti, akan menghasilkan kekosongan minda dan tidak memancarkan naluri positif. Walaupun tidak pernah diucapkan dengan kata-kata, tetapi sifat-sifat itu akan terpancar dalam diri seseorang itu melalui cara, sikap, tingkah laku kehidupan sehariannya.

Mulut berkata, "aku ikhlas", belum tentu, cara sebutan, tingkah laku dan perbuatannya melambangkan keikhlasannya. Minda berfikir, hati menghukum, naluri orang lain yang menentukan keikhlasan itu, mengikut kefahaman dan kata hatinya sendiri. Tidak penting apa yang seseorang itu perkatakan, tetapi yang lebih penting apa yang terpancar disebalik bukan kata-katanya.

Proses pengadunan ciri positif dalam jiwa seseorang perlu pula dibantu dengan tiga kemahiran lain iaitu cara penyelesaian, fokus dan keutamaan. Pemimpin akan berhadapan dengan cara untuk menyelesaikan masalah. Bagaimana cara kaedah penyelesaian yang diambilnya akan memberi kesan kepada organisasinya sama ada bijaksana atau tidak. Tidak ada bentuk tetap penyelesaian masalah kecuali berani mencuba dan mengetahui punca-punca berlakunya masalah itu.

Sikap berani menghadapi masalah dan mencari jalan penyelesaian terbaik adalah lebih terpuji daripada takut menghadapi masalah dan sentiasa menggelakkan diri daripada bertembung daripada masalah. Ini yang dikatakan Atichy Phobia atau Fear of Success. Contohnya bidang kejuruteraan lazimnya dikuasai oleh kaum lelaki, tetapi sejak kebelakangan ini kaum wanita semakin ramai menceburi bidang ini. Tetapi bila mana wanita berjaya menguasai bidang ini akan timbul satu dilema dalam dirinya 'tak perlulah aku berlebih-lebih nanti hilang pula sifat keperempuanan ku...' atau ' perempuan tak perlu belajar tinggi-tinggi satu hari di dapur juga.' 

Semakin runcing masalah itu, semakin terserlah, wajah diri, emosi dan kualiti diri seseorang. Pengalaman ini yang mematangkan serta memantapkan diri sekiranya dipelajari dan dihayati, hadis nabi yang bermaksud, "tidak mungkin dipatuk ular dua kali di tempat yang sama"

Setelah mengenalpasti masalah dengan segala faktornya, pembinaan fokus perlu dihayati untuk menyelesaikan permasalahan itu. Sewajarnya, pemimpin yang baik, bukan pemimpin yang hanya menghabiskan kehidupannya dengan penyelesaian masalah. Memperbesarkan masalah tanpa tindakan waras maka, permasalahan itu akan terus membesar. Mengecil permasalahan yang bukan masalah adalah ciri terpuji untuk mengurangkan karenah-karenah organisasi.

Di sinilah kebijaksanaan pemimpin yang mampu mengesan dan melihat secara jelas antara permasalahan besar dan kecil. Tujuannya untuk menentukan fokus gerak kerja yang lebih berkesan terhadap idea positif yang ingin diterjemahkannya. Fokus menentukan keberkesanan produk. Fokus kepada perkara penting dan kurangkan daya fokus kepada perkara remah temeh.

Idea-idea dan masalah-masalah dibentangkan tanpa dilabelkan indek kepentingannya. Semuanya dianggap penting dan perlu dilaksanakan. Kebijaksanaan pemimpin berkualiti menentukan prioriti antara idea utama dengan idea sampingan atau masalah major dengan masalah minoriti.

Bagaimana kita mengurus perubahan akan menunjukkan tahap kematangan sebuah gerakan. Idea utama diutamakan dan idea sampingan dikemudiankan.