9/1/09

Hati di Sebalik Wajah


Wajah merupakan satu pemberian dari Allah S.W.T. Wajah ini dapat membezakan seseorang insan dengan insan yang lain dalam kehidupan seharian. Manakala hati adalah satu bentuk yang tidak dapat dilihat walaupun dibayar dengan darah kerana hati wujud dalam bentuk "segumpal daging".

Wajah yang cantik atau tampan tidak semestinya hati seseorang itu suci dari melakukan dosa. Wajah yang cantik atau tampan, merupakan salah satu ujian yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang telah dikurniakan pemberian itu, dalam mengatasi perkara-perkara yang dilarang. Manakala, wajah yang kurang cantik atau kurang tampan, tidak semestinya hatinya kotor. Wajah dalam keadaan ini mudah bagi seseorang insan itu dalam mengelakkan masalah perkara-perkara yang terlarang. Ujian Allah tetap ada bagi mereka yang tergolong dalam golongan ini.

Beruntunglah kepada manusia itu, sekiranya wajah yang telah diberikan oleh Allah dalam keadaan cantik atau tampan dijaga dan dipelihara seperti memelihara nyawa sendiri serta hatinya sentiasa bersih dan dibersihkan apabila melakukan dosa. Setiap perkara di dunia ini, ada hikmahnya dan pahalanya.

Orang yang sentiasa dalam mengerjakan ibadat kepada Allah, wajahnya akan sentiasa berseri bagaikan cahaya yang menerangi kegelapan. Ini kerana, hatinya sentiasa ingat kepada Allah dan dipelihara bersungguh-sungguh.

Manakala, wajah orang melakukan perkara yang dilarang tidak berseri bagaikan satu permukaan dinding yang kotor (tidak dibersihkan atau dicuci). Ini kerana, hatinya telah terlekat satu tompok "daging hitam" yang menunjukkan seseorang itu dalam keadaan yang tidak menjaga amal ibadatnya dan melakukan perkara yang dilarang. "Daging hitam" ini, lama kelamaan akan bertukar dari setompok menjadi segumpal dan seterusnya. Ini yang akan membawa manusia yang tergolong dalam golongan ini mudah terjerumus ke dalam api neraka yang tidak terkata kepanasan dan seksaannya.

Oleh yang demikian, marilah sahabat-sahabat, kita bersihkan hati kita dengan memperbanyakkan amal ibadat dan perkara kebajikan serta menjauhi sebarang perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. Semoga Allah memberikan kita wajah-wajah yang berseri bagaikan cahaya putih menerangi setiap pelusuk kegelapan di dunia dan akhirat kelak. Insya'Allah...