3/17/11

Pengajaran dan Iqtibar dengan bencana di Jepun

Beberapa hari ini kita dikejutkan dengan gempa bumi dan tsunami di Jepun. Tahun 2004 rasanya masih segar di ingatan mengenai tusnami yang melanda Acheh dan negara kita. Tahun 2011, 7 tahun kemudian, New Zealand dan Jepun pula mengalami nasib yang sama. New Zeland dilanda gempa bumi dengan kekuatan 6.9 magnitud dan Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi 10 meter yang menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa. Gempa bumi terburuk dalam 140 tahun, yang melanda timur laut Jepun tengah hari 11 Mac 2011 (waktu Malaysia), dikatakan telah meragut 2000 nyawa setakat ini dan angka kematian dijangka terus meningkat.
 
Jika dilihat lebih jauhnya bencana alam kini semakin menjadi-jadi, hakikatnya ianya ada kaitan dengan kegiatan manusia diatas muka bumi ini. Di dalam Al-Quran Allah Subhanawataala menceritakan banyak tamadun manusia dimusnahkan oleh Allah melalui bencana alam.
Dalam surah al-Ankabut ayat 40 Allah SWT berfirman bermaksud:
“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” Quran Explorer – [Surah Al-Ankabut, Verse : 40 - 40]
Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pelajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza. Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Sedangkan bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Dengan bencana juga, Allah hendak menunjukkan kepada manusia, mana antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak.
Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Demi wang ringgit bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembangunan dilaksanakan sesuka hati, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat .
Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Quran Explorer – [Surah Ar-Rum, Verse : 41 - 41]
Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alam semesta. Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali.
Ayuh kita semua ambil pengajaran dan iqtibar daripada kejadian ini dan ayuh kita perbaiki hubungan kita dengan Allah Subhanawataala. Kita sebagai rakyat Malaysia sering terlepas dari bencana tersebut, kerana dari segi lumrahnya Malaysia bukanlah sebuah negara yang berada di garisan gerak gempa. Tetapi jangan anggap kita sudah selamat dari itu semua, kerana jika Allah berkehendak bencana di negara ini, maka ia akan berlaku dengan tanpa disedari dan ia akan menyebabkan kemusnahan yang lebih besar dari negara-negara yang sering ditimpa bencana. Jangan sesekali lupa kepada Allah dan melakukan perkara yang dibenci oleh Allah sebab takut nanti Allah murka dan menurunkan bencana yang sangat besar untuk menghapuskan orang-orang yang melakukan kesalahan di muka bumi ini.
“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia.”