7/26/10

Bait Muslim : Alternatif @ Kesempatan?

Artikel ni sahabat email so mgkn ada yang bolah djadikan panduan...

:Perkongsian Daripada Sahabat DKIAS

Saya sangat-sangat tidak mengetahui sejak bilakah Unit ini ditubuhkan, siapa dan dimana. Yang pasti sudah terlalu lama.

Ketika berkongsi pengalaman dengan kami beberapa orang sahabat bersama Ust Ilias Ahmad yang sinonim dengan sapaan Pok Su Li sering menceritakan pengalaman beliau ketika memimpin PMRAM di Mesir.

Katanya “ Bait Muslim di Mesir yang digerakkan oleh PMRAM tujuannya sebagai pembantu kepada mereka yang sudah memerlukan sangat perkahwinan. Unit ini diketuai dan dipegang oleh mereka yang sudah berkahwin. Merekalah yang memberi kaunseling, nasihat, tunjuk ajar dan lain-lain keperluan untuk individu yang berhajat ini”.

Tetapi, agak pelik di Malaysia ini, kampus-kampus yang ada Bait Muslim sudah agak ‘jauh’ cara pelaksanaanya tidak sebagaimana yang digerakkan oleh PMRAM.” Kami tidak faham apa maksudnya. Beliau lantas menerangkan “ kalau disana, kita membantu menyelesaikan mana-mana individu yang sudah memerlukan sangat…tapi disini sudah jadi ruang untuk mencari pasangan sesama ahli jama’ah. Muncul istilah ‘cop’ lebih awal…” akhirnya semua ahli jama’ah masing-masing sudah ada pasangan masing-masing”. Begitulah lebih kurang komentar Ust dihadapan kami yang membuatkan kami berfikir.

Ini jauh dari matlamat asal Bait Muslim yang bertujuan membantu menyelesaikan masalah, bukan menjadi wasilah untuk mencari pasang-pasangan kepada ahli. Padahal saat itu, ahli bukanlah berkeperluan yang mendesak lagi.

Bait Muslim : Kelurusan Pelaksanaan.

Di Mesir, ianya adalah unit terbuka yang dikawal selia oleh PMRAM dan boleh dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa disana dengan beberapa peringkat seperti pengisian borang, makluman kepada Pengerusi Bait Muslim, diadakan pertemuan antara 2 individu tersebut dirumah ustaz-ustaz penasihat unit ini, dibincangkan, dan ditanya kepada kedua-dua pihak, tempoh sehinggalah tarikh perkahwinan serta nasihat-nasihat dan syarat-syarat agar hubungan tersebut dapat dipelihara dalam tempoh sebelum perkahwinan.

Itulah sedikit sebanyak yang saya ketahui dari teman-teman disana. Syukran ya teman-temanku. .

Adapun pelaksanaanya di kampus-kampus di Malaysia mungkin hanya sebatas kepada anggota persatuan mahasiswa Islam atau gerakan dakwah kampus sahaja kerana gerakan dakwah tidak menguasai kampus sepenuhnya. Saya optimis bahawa kaedah pelaksanaannya hampir sama sahaja. Jika ada perbedaan pun, mungkin sedikit sahaja khas berkait perkara yang menjadi khilaf sahaja.

Pandangan sahaja:

1)Jika seorang lelaki mahukan kepada seorang wanita, sebaiknya gunakanlah mana-mana muslimat lain yang terpercaya ( mungkin daripada Unit ini) untuk memaklumkan hajat anda kepada wanita tersebut. Elakkan terus berhubung dengan wanita itu kerana dipertengahannya penuh mudarat yang tidak dijangka. Ini juga kerana wanita lebih mengetahui mengenai teman
wanitanya. Maka biarkanlah mereka yang amanah ini menjadi wakil anda.

Peringatan! jangan terlalu cepat dan mudah untuk meluahkan isi hati kepada mana-mana lelaki atau wanita jika anda masih mempunyai keraguan atas kesedian anda untuk berbicara soal perkahwinan, jika tidak perhubungan anda hanya akan menjadi alat bermesra-mesraan dalam tempoh yang panjang yang tidak diketahui kesudahannya.

2)Maklumkan segera kepada penasihat, ustaz/ustazah, atau mas’ul kepada unit ini tentang hasrat anda dan keputusan kedua-dua pihak. Jangan anda melaju berlayar dalam perhubungan sementara ini tanpa dimaklumkan kepada mereka yang bertanggungjawab.

3)Jika masing-masing telah mempersetujui, maka solusi terbaiknya, putuskan perhubungan sehinggalah sampai hampir kepada tarikh yang ditetapkan.

Peringatan:

Maaf, saya tidak bersetuju jika ada yang membuka ruang kebenaran saling menyampaikan tazkirah, nasihat menasihati dan saling memberi semangat dan motivasi. Tiada perhatian khusus yang dihalalkan kepada anda melainkan dengan jalan pernikahan.

Saudara, istilah ‘taqdim’ bukan bererti anda yang mengconfirmkan dengan penuh confidence bahawa perhubungan anda itu benar-benar akan sampai kepada majlis perkahwinan.
Letakkanlah segala-galanya kepada Allah dan berdoalah agar jika dia yang terbaik untuk anda, maka kekalkan dia untuk anda, jika tidak, serahkan kepada Allah. Permohonan kepada Allah mesti diteruskan.

4)Elakkan dalam tempoh yang terlalu lama dalam ikatan sementara ini. Nafsu sebenarnya memberontak dan menjerit-jerit agar anda berhubung juga dalam tempoh ini (rujuk artikel sebelum ini).

Catatan:
Tempoh lama atau tidak tergantung kepada anda sebenarnya. Sejauhmana kita mampu bertahan dengan nafsu dan mudarat-mudarat ditengah ikatan sementara ini.

5)Jadikan ikatan sementara ini hanya sebagai simpanan rahsia anda dan individu-individu tertentu seperti mas’ul sahaja. Jangan jadikan ianya kebanggaan untuk dicerita-ceritakan kepada orang lain. Mungkin, Allah mentaqdirkan terputus ditengah-tengah ini, maka sakit bagi anda untuk menerimanya kerana sudah diwar-warkan berlebih-lebihan.

6)Jangan jadikan wanita atau lelaki pilihan anda ini sebagai bahan gurauan bersama teman-teman. Peliharalah maruahnya. Berhubunglah dengan mengharapkan redho Allah. Bukan percintaan monyet muda-mudi yang tidak menghayati agama. Seriuslah ! Matanglah ! Anda sedang membina kedewasaan.

7)Berdoalah agar anda dijauhkan dari maksiat, kekejian dan perhubungan haram dalam tempoh ini. Permulaan dengan mengenepikan redho Allah akan berakhir dengan penghinaan Allah. Pastikan dan usahakan mencari kebersihan dalam perhubungan ini.

8)Sibukkan diri anda dengan tugasan dakwah, pengajian seperti biasa dalam tempoh ini. Kelapangan waktu membuatkan anda masih sempat berkhayal tentangnya. Berhati-hatilah. Jangan sampai ibadah kerananya, pengajian kerananya.

9)Dalam membuat keputusan, banyakkanlah beristikharah dan memohon petunjuk dari Allah. Allah lebih mengetahui siapa yang terbaik untuk kita. Jangan ‘mendesak’ Allah menerima kehendak kita, bimbang Dia memberi dengan campakan, maka kita akan menggigit jari kelak.


Baiklah, teman-teman seperjuanganku sekalian. Ini hanya pandangan peribadi sahaja, Kalian berhak memberikan pandangan, kritikan dan komentar lain yang dirasakan baik. Maafkan kekurangan dan kesilapan saya. Saya juga seperti kalian dalam isu diatas. Mudah-mudahan Allah memelihara kita.. 
salam perjuangan.

7/21/10

KEHIDUPAN INSAN



Di dalam meniti usia kehidupan di dunia ini, pelbagai rencah dan asam garam perisa hidup kita lalui. Bermula tika nafas pertama kita hirup melalui rongga hidung higgalah nafas terakhir kita hembuskan pabila dipanggil oleh Ilahi untuk mengadapNya. Pelbagai kisah demi kisah dijalini sama ada manis atau pahit, ada suka ada duka, dan sebagainya.

Batasan usia di zaman kanak-kanaklah yang paling menggembirakan. Kerana tidak dibebani fikiran dan akal dalam menghadapi sebarang masalah juga cara penyelesaiannya. Namun tika diri digelar sebagai pelajar, kehidupan inilah yang paling merimaskan. Perlu menghadiri tiap kelas dan pengajian, berpakaian seragam juga bermacam-macam peraturan perlu dipatuhi sebagai adunan mendisiplinkan diri. Hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Tidak sunyi dengan 'homework' juga peperiksaan yang menggamit sedikit tekanan dalam satu jangka masa tertentu. Tetapi apabila diri melangkah ke alam pengajian yang lebih tinggi kematangan fikiran perlu dipertonjolkan dan memainkan peranan terpenting. Menidakkan perasaan dalam membuat sebarang keputusan. Lebih menghargai diri demi menjamin kebahagiaan kelak. Punya sasaran, 'aim' dan 'target' disetiap peperiksaan dalam melepasi ujian tersebut demi memperolehi kerjaya yang diimpi harapkan sebelum ini.

Tatkala masuk ke alam kerjaya, pelbagai azam disemat suburkan untuk mempertingkatkan kualiti dan daya kerja dalam mencitakan peningkatan pangkat mahupun pendapatan. Setiap hari berulang-alik dari tempat kediaman ke tempat kerja. Tidak mengira panas dan dingin tanggungjawab dan tugas perlu dilaksanakan bagi menambah dan memperbaiki taraf hidup . Apabila mendapat imbuhan disetiap bulan, agihan dan 'budget' perlu kemas dan teliti. Mana yang hendak digunakan, mana yang hendak disimpan dan mana yang dikirimkan kepada keluarga.

Mungkin bagi lelaki setelah mempunyai kedudukan yang stabil dan selesa dari sudut kewangan, kemampuan, terdetik di hati untuk mencari pasangan hidup. Gadis yang menepati citarasa dipinang dan dinikahi. Terus melayari alam rumah tangga yang menjanjikan seribu satu kemanisan atau sebaliknya yang bergantung kepada kecekapan dan kemahiran 'kapten kapal' dalam mengharungi gelombang lautan yang sangat luas. Nafkah zahir juga batin perlu disediakan kepada si isteri dalam memberi kepercayaan dan keyakinannya kepada kita sebagai pilihan teman hidup. Berusaha mencorakkan kehidupan yang sempurna, lengkap dan bahagia agar usia perkahwinan bertahan lama dan biarlah sampai ke akhir hayat.

Lahir pula cahaya mata sebagai menyeri hidup. Seorang, dua atau seterusnya menjanjikan keperluan hidup yang lebih daripada sebelum ini, Cuma berdua. Sebagai ketua keluarga harus bijak dalam hal ehwal kewangan kekeluargaan untuk mengelakkan masalah timbul kelak. Peranan ibu bapa amat penting dalam proses tumbesaran anak-anak hinggalah mereka mampu berfikir dalam peringkat mumayyiz atau baligh hinggalah keseterusnya. Dapat memberi perangsang dan semangat kepada mereka ketika di dalam kesulitan. Memahami keinginan dan kecenderungan anak dalam membina cita-cita mereka. Memberi panduan dan jalan kepada si anak dalam menuju ke arah cita-cita tersebut. Hinggalah mereka berjaya dengan yang apa yang dicitakan.

Kita pula semakin melewati batasan usia yang kian senja. Duduk di kerusi malas sambil menatap beberapa potret lama yang tergantung. Puas dan mampu tersenyum melihat anak yang 'menjadi' hasil dari didikan dan asuhan kita. Punya kerjaya dan hidup semakin mewah. Dan rutin harian kini hanya berulang ke surau atau masjid yang berhampiran dengan gayutan biji tasbih di tangan. Kerana 'rumah kata pergi kubur kata mari'. Kulit-kulit kian mengendur, tahap kesihatan dan penglihatan juga semakin menurun. Apa lagi yang diharapkan hanyalah kebahagiaan abadi di alam sana.

Penghidupan sebeginikah yang kita citakan??? Yang kita harapkan??? Yang kita impikan???
Bermula dari alam kanak-kanak yang bebas dari pelbagai masalah nan hidupnya penuh ceria dan gembira. Melalui alam remaja yang mejoritinya begelar sebagai pelajar yang perlu lulus disetiap kali peperiksaan. Terus ke alam dewasa yang punya kerjaya, berkahwin, punya anak dan keluarga hinggah ke alam tua.
Dimanakah bakti-bakti dan sumbangan kita terhadap Islam yang kian ditindas dan kian hilang sirna kemuliaannnya? Dimanakah sebahagian hidup kita yang harus diinfakkan untuk Islam???
Adakah kita tergolong dalam seperti cerita di atas???

Hanya mengimpikan sebuah kejayaan di dalam peperiksaan. Hanya mengimpikan pasangan hidup seperti yang diinginkan. Hanya bekerja untuk makan dan pakai. Hanya hendakkan anak-anak berjaya dalam hidup. Melalui hari-hari kehidupan seperti hidup, belajar, kerja, berkeluarga, tua dan terus mati???
Dimanakah tempat dan bilakah masa dan waktunya status kita sebagai seorang da'ie harus diguna pakai??? " Siapa yang mengucap kalimah Lailahaillah, dia seorang da'ie"

Semoga kita yang masih dibekalkan kewarasan fikiran dan 'sedar' dengan tugas dan tanggungjawab sebagai khlaifah di bumi ini perlu memikirkan secara serius. Tidak alpa dan leka dengan status sebagai pelajar, pekerja, ibu bapa. Malah lebih wajar kita bertanya kepada diri, 'aku seorang Islam, aku seorang mukmin, tetapi apakah sumbangan aku kepada agama Allah ini?' Sama-samalah kita fikirkan. Ke manakah arah tuju kita sebenarnya???

'The ball in your hand. The goal in your mind'






7/16/10

Usrah Nisa'

Assalamualaikum wbt.. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafaqkan ke hadrat Ilahi yang Maha Menjadikan kita semua dengan sempurna serta memberkahi kita dengan akal yang mampu untuk berinteraksi sebaik mungkin. ALhamdulillah juga, kita panjatkan kepada anugerah Allah yang menjadikan kita ini pewaris kepada agama Tauhid, sekaligus menempatkan kita sebagai salah seorang ummat Muhammad, pesuruhNya yang di kasihi.

Pada Ahad yang lepas (11 Julai 2010) bertempat di Nisa' Educare Centre, Nisa' Perlis di bawah Unit Pembangunan Insan (UPI) telah mengadakan usrah bulanan. Alhamdulillah, setelah sekian lama terhenti akhirnya, pada petang yang agak redup kelmarin, usrah Nisa' dapat dijalankan dengan sempurna.

Bahan yang dibawa adalah tafsir surah Al-Asr dan menggunakan teks 'Prinsip Dakwah'.
Antara isu semasa yang dibincangkan ketika usrah kelmarin adalah isu berkenaan UPSR dan PMR yang bakal dimansuhkan, selain itu usrah Nisa' kali ini juga turut membincangkan bab Isra' Mikraj.

Alhamdulillah, ramailah ahli Nisa' dan AJk yang hadir majlis ilmu kali ini. ^ ^
Insyallah, bulan depan kita berusrah lagi yer!

::kredit to mira safiah for foto::


Amboi, bestnye dia berusrah sambil baring2..




7/8/10

Seteguh Acuan Muslimat Palestin




DR MARYAM SOLEH

Tokoh Muslimat Dalam Kabinet HAMAS

Golongan muslimat merupakan sayap kanan dalam perjuangan Islam semenjak zaman Nabi SAW. Pengorbanan mereka setanding dengan kaum muslimin dalam menjaga dan menenangkan agama Allah SWT, bukan sahaja merapikan sebuah rumahtangga tetapi berkubang darah dan keringat di medan perjuangan. Sumaiyyah, ibu kepada Ammar bin Yassir menjadi syuhada yang pertama dalam perjuangan Islam. Ummi Nusaibah binti Kaab menjadi muslimah yang berbai’ah dengan Nabi SAW dalam perjanjian Aqabah kedua dan merupakan muslimah yang mempertahankan Nabi SAW di medan Uhud sehingga berlinang darah mengucur dari badannya akibat tikaman musuh. Ummi Mukminin, Aishah pula dengan keupayaan akal yang tinggi menjadi tempat rujukan bagi sahabat dan sahabiah dalam perkara agama, terutamanya selepas kewafatan Nabi SAW.

Peranan muslimah sebagai pejuang Islam berterusan sehingga akhir zaman dan mereka tidak pernah gentar berhadapan dengan musuh walaupun diancam dengan kematian. Ini pernah terbukti di Mesir, Iran, Lubanan, Palestin, malah ada yang mati syahid kerana mempertahankan maruah diri mereka.

Muslimat Palestin

Hamas merupakan salah satu cabang Gerakan Islam Ikhwan Muslimin yang ditubuhkan oleh as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin pada 1987 di Gaza yang juga merupakan ibu negara bagi Palestin. Puluhan tahun sebelum ditubuhkan Hamas, pejuang Islam telah bergerak dalam usrah-usrah Ikhwan di Gaza terutama anak-anak muda yang berpendidikan dan menyintai Islam yang berdaulat. Sejak tertubuhnya Hamas sebagai sebuah gerakan Islam secara aktif, ia telah banyak melahirkan individu pejuang yang sanggup berkorban Islam khususnya bagi menghadapi ancaman Zionis. Mereka bukan sahaja bangkit menentang penindasan terhadap mereka tetapi berjuang untuk membebaskan kiblat pertama umat Islam dan mengambil kembali Masjidil Aqsa.

Hamas merupakan pergerakan Islam kontemporari yang mempunyai kekuatan yang tersendiri berbanding dengan gerakan lain. Mereka menguasai masyarakat dengan kerja kebajikan dan dakwah, pergerakan mereka juga sarat dengan intelektual Islam dan mempunyai jaringan di seluruh dunia terutamanya melalui parti-parti Islam. Mereka juga merekrut anggota jihad yang terlatih yang dikenali sebagai Brigged al Qassam, Hamas sentiasa berada di hati umat Islam sehingga diberikan kepercayaan dalam pilihanraya oleh rakyat Palestin untuk memimpin mereka.

Pejuang-pejuang Hamas bukan sahaja terdiri daripada golongan kaum Adam semata-mata, akan tetapi juga melibatkan kaum Hawa termasuklah mereka yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi, antara mereka ialah Dr Maryam Soleh salah seorang pejuang muslimah yang cukup kental dan cekal pendiriannya bersama Hamas.

Mengenali Dr Maryam Soleh 

Dr Maryam dilahirkan pada 1953 di kem pelarian Dir Ammar, Palestin. Mendapat pendidikan awal dan menengah di kawasan penempatan pelarian, setelah itu melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam jurusan Dakwah Fakulti Syariah Islamiyyah Universiti Malik Abdel Aziz di Makkah dengan mendapat keputusan cemerlang pada 1979, pada 1986 menyambung pengajian di peringkat Sarjana/M.A di Jabatan al-Quran dan as-Sunnah dari Universiti Ummul Qura juga di dalam bidang dan universiti yang sama dengan mendapat kepujian dan sokongan daripada kerajaan Arab Saudi.

Setelah tamat pengajian, Dr Maryam memulakan kerjaya sebagai seorang pensyarah di Fakulti Syariah Islamiyyah di Universiti al-Quds Abu Dis di Palestin, pada masa yang sama dilantik menjadi pensyarah jemputan di Universiti Terbuka al-Quds.

Dr Maryam berkahwin dengan seorang jurutera pertanian dan perladangan, Nazmi al-Tarifi dan dikurniakan tujuh orang anak, lima daripada mereka adalah lelaki dan dua perempuan. Ketika menyambung pelajaran di peringkat Ph.D, beliau ditemani oleh suami serta anak-anak untuk menetap sementara di Arab Saudi bagi memudahkan urusan menghabiskan penulisan tesis.

Meninggalkan kerjaya sebagai seorang pensyarah pada Januari 2006, apabila Hamas menang besar dalam pilihan raya negara, Dr Maryam yang merupakan calon Hamas menang dalam pilihan raya bagi kawasan Ramallah. Sejurus selepas pilihan raya, beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Wanita Palestin hingga sekarang sebagai kerajaan yang sah yang dipilih rakyat.

Pandangan dan Harapan Dr Maryam selaku Menteri Wanita

Setelah memegang jawatan Menteri Wanita dan juga Exco kerajaan Hamas, Dr Maryam lebih menumpukan perhatian kepada penambahbaikan khususnya terhadap golongan muslimah bagi memacu satu program integriti melibatkan golongan berkenaan untuk memajukan kerajaan dalam segenap agenda yang dirancang. Lebih-lebih lagi program yang boleh mendatangkan keuntungan kepada keutuhan ekonomi negara ketika dunia dilanda krisis ekonomi global.

Bagi Dr Maryam, golongan wanita terlebih dahulu perlu menjalani program pembinaan jati diri berasaskan motivasi yang dirancang khas oleh kementeriannya bagi memastikan agar mereka mendapat sedikit sebanyak informasi berguna bagi menghadapi dunia yang serba terdedah kepada bahaya penyelewengan yang tidak mengecualikan wanita-wanita Islam seluruh dunia, apatah lagi warga Palestin yang menjadi sasaran musuh luaran dan dalaman (Fatah).

Dalam satu wawancara dengan wakil media asing, Dr Maryam ditanya mengenai penglibatannya sebagai ahli politik dengan mempunyai ramai anak, adakah ia tidak merencatkan kestabilan politik yang beliau ceburi sekarang ini, tanpa ragu dan teragak-agak, Dr Maryam dengan penuh yakin menyatakan, bahawa semua aspek berkenaan tidak sedikit pun mengganggu kariernya dalam politik Palestin, kerana yang paling penting ialah pegangan agama yang cukup bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Beliau selanjutnya menegaskan, bahawa beliau mempunyai pengalaman satu ketika dahulu, bagaimana kemampuannya membahagi masa antara pengajian peringkat Ph.D serta pendidikan anak-anak, ia bergantung sejauhmana masa itu dibahagikan dengan saksama yang membuahkan hasil hingga penghujung pengajian, malah beliau dinobatkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan. Pengalaman berharga itulah yang meyakinnya untuk terjun dalam arena politik secara praktikal bagi memajukan golongan wanita di Palestin khususnya untuk mencapai cita-cita seperti wanita-wanita lain di dunia.

Benarkah wanita Arab tidak dibenarkan untuk berkarier?

Itulah soalan yang ditujukan oleh media asing kepadanya bagi menyelami pandangannya sebagai Menteri wanita yang begitu optimis untuk menyelamatkan bangsanya daripada tertindas dalam segenap aspek kehidupan dek kerana hilang jati diri dan rasa terlalau rendah diri kepada pihak musuh. Dr Maryam dengan penuh semangat jihad dan memiliki kefahaman mendalam mengenai Islam berdasarkan elemen Sirah Nabi Muhammad SAW dan Siyasah Syar’iyyah, menegaskan bahawa selagi Islam memerintah, umat Islam bahkan umat manusia seluruhnya akan berada di bawah naungan keamanan dan keselamatan maksimum, kerana Allah SWT adalah Yang Maha Pengampun seperti yang ditegaskan-Nya di dalam al-Quran.

Maryam merupakan contoh bagaimana, kehebatan manusia Palestin yang tidak mengalah kepada keadaan. Beliau sentiasa memanfaatkan ruang masa dengan kerja yang berfaedah sehingga membuktikan kejayaan dalam bidang akademik dan menjadi seorang Menteri Kabinet. Beliau juga mempunyai PR yang baik dengan masyarakat serta disayangi oleh Muslimat Palestin. Penulis yang berkesempatan mengunjungi Gaza juga berkesempatan bertemu dengan beliau di Hotel Gaza semsa Menteri-menteri Hamas menerima tetamu luar Negara. Dr Maryam kelihatan bersungguh-sungguh menyantuni tetamu-tetamu kerajaan termasuk ahli Parlimen dari Morocco.

Bagi Dr Maryam yang merupakan satu-satunya exco muslimah dalam kerajaan Hamas, anggota Fatah yang sebenarnya tidak mendapat tempat dalam masyarakat, mereka melakukan perkara yang tidak memperlihatkan mereka sebagai golongan yang berpelajaran tinggi dengan mewujudkan kerajaan baru yang dibentuk oleh mantan Presiden Mahmud Abbas yang telah tamat tempoh pemerintahannya pada Januari lalu, dengan memilih kebanyakan kabinetnya daripada Fatah yang dipersetujui Barat, akhirnya mereka akan dihukum sekali lagi jika pilihan raya dilangsungkan pada bila-bila masa.

7/5/10

TATAPAN UNTUK SENAMAN JIWA.....

DIRI KU DAN SAHABAT SEKELIAN.....

WAHAI DIRIKU....MENGERTILAH...!

Diriku,
dalam sibuk kau membicarakan soal strategi perjuangan,
dalam sibuk kau
menyusun perancangan, kadangkala kau lupa menyemak
kedudukanmu di sisi Zat Yang Agung, yang keranaNya kau
menyusun, mengatur dan berjihad.
terlupa kau bertanya sejauh mana keikhlasanmu. terlupa
kau membelek Manhajmu agar ia selari dengan manhaj
Rabbani yang diturunkan...

Diriku,
dalam rancak kau meyiram taman hati insan lain, kau
terlupa membaja taman hatimu sendiri agar ia sentiasa
segar dalam hubungan dengan Allah,tersentuh
dengan daulatNya, merasa terpikul amanah ad-deen ini
bukan kerana kau berjamaah, namun kerana engkau di
bawah perintahNya.

Diriku,
seringkah kau mencari jalan agar hatimu sentiasa
lembut halus sentuhannya,agar sentiasa sedar akan
keagunganNya, insafi kekerdilan, kelemahan,
kealpaan dan kesilapan dirimu...?

ketahuilah diriku...
hatimu itu keras. khusyu'mu kurang, syukur dan redhamu
tidak banyak kau hadiahkan padaNya. terlalu banyak
kurang dan salahmu....

Diriku,
tunaikanlah solatmu dalam khusyu'dan tenang.

muhasabahlah dirimu kala sunyi, selamilah kalam2
al-Quran yang kau perjuangkan. padanya ada bekalan
untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini.

Diriku,
pada nawafil dan amalan sunat ada jalan yang hampir
untukmu berkasih sayang dengan tuhanmu. pada
qiamullail di keheningan malam bersama bisikan doa
dan munajatmu, diiring esak airmata keinsafan dan
keikhlasanmu, kau akan temui kemanisan taqarrub di
bawah duli kebesaranNya. di situ ada bekalnya...
lazimilah awal harimu dengan al-Ma'thurat, pasti kau
akan mengenali siapa dirimu sebagai daie.

Diriku,
pada tawadhu', pada ukhuwah fillah, pada infaq fi
sabilillah, pada uzlah muhasabah diri, pada zikir dan
selawat, ada ketenangan dan kekuatanmu.

Diriku,
ketahuilah bahawa hanya hati yang hidup sahaja yang
bisa memberikan nafas kepada hati yang mati. hati yang
turut sama mati tidak mungkin menyembuhkan
hati yang sakit apatah lagi menghidupkan hati yang
mati.

Diriku,
amanahlah kau di hadapan manusia kerana kedaulatan
TuhanMu namun rasailah kekerdilan dirimu di hadapan
kudrat dan IradatNya....

PASAKKAN KEYAKINAN UNTUK SATU PERUBAHAN



“Ya Allah, Ya Tuhan kami, sesungguhnya amanah ini terlalu berat untuk kami selaku pejuang di jalanMu, terlalu kerdil diri ini untuk memikul taklif yang terpundak, namun seandainya kami meninggalkan tugas ini, nescaya akan menghancurkan harapan pewaris silam, Ya Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa, kudrat lemah yang Engkau pinjamkan buat sementara waktu ini akan kami manfaatkan untuk ketinggian addinMu, kami akan berusaha untuk mendidik nafsu, agar keringat yang mengalir adalah keranaMu semata, kekalkanlah semangat ini sepanjang hayat kami, agar kami tidak tergolong di kalangan almutasaqitun ‘ala tariqud dakwah.. Amin Ya Rabbal ‘alamin….”



7/1/10

Ibu Sultan Muhammad Al Fateh

Bismillah wal Hamdulillah..

Salam kepada semua sahabat-sahabat...sudah lama rasanya tidak mengupdate blog. hari ini baru sempat untuk update...ketandusan idea juga menjadi alasan. Artikel di bawah sebagai perkongsian kepada sahabat-sahabat muslimah sebagai panduan bagaimana untuk melahirkan generasi Al Fateh yang seterusnya. 

:: Sultan Muhammad Al-Fateh - Pembuka Kota Konstatinopel ::

Sabda Rasulullah SAW


Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya(menakhluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”

Ini sabda Rasulullah SAW, hampir 1000 tahun sebelum Konstantinopel ditawan.

Dan sabda Rasulullah SAW ini menjadi inspirasi kepada kaum Muslimin selepas zaman baginda untuk berusaha menakhluk Konstantinopel. 800 tahun kaum Muslimin berusaha, raja bertukar raja, jeneral bertukar jeneral, tetapi tetap tidak mampu menakhluk Konstantinopel yang ampuh itu.

Sebaik-baik raja, dan sebaik-baik tentera. Bukan mudah.

Ketika balita

Balita adalah anak-anak kecil. Balita adaalah perkataan indonesia.

Dr Anas, ketika menyebut perihal Muhammad Al-Fateh dalam khutbah beliau, beliau ada menyebutkan betapa pentingnya ibu bapa mentarbiyah anak-anak sedari umur kecil. Bukan tunggu akil baligh, bukan tunggu boleh bersuara. Dari kandungan lagi sebenarnya sudah mula tarbiyah anak.

Malah, seorang guru saya ada pernah berkata:
“Tarbiyah anak itu sebenarnya, bermula dari pencarian pasangan kita”

Dr Anas berkata:
“Lihatlah bagaimana ibu kepada Sultan Muhammad Al-Fateh yang menakhluk Konstantinopel. Tahukah kamu apakah yang dia lakukan kepada Muhammad Al-Fateh?”

Diceritakan bahawa, semenjak Muhammad Al-Fateh lahir, ibunya akan membawa Muhammad Al-Fateh pergi keluar dari istana dan berdiri di sebuah tebing, di mana tebing itu menghadap ke arah Konstantinopel. Ibunya akan berkata:

“Wahai anakku, di sana terdapat kota Konstantinopel. Dan Rasulullah SAW bersabda: Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya(menakhluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Ketahuilah anakku, engkau lah orangnya”

Setiap hari, tanpa bosan, ibunya buat begitu. Dari dalam gendongan, hinggalah Muhammad Al-Fateh boleh berjalan. Dia akan membawa Muhammad Al-Fateh ke tebing itu dan menunjuk ke arah Konstantinopel kemudian membacakan Hadith Rasulullah SAW tadi.

Tidaklah ibu ini tahu bahawa hadith itu untuk Muhammad Al-Fateh. Namun tindakannya itu sebenarnya untuk memotivasikan anaknya agar menjadi lelaki yang mulia itu.

Akhirnya kita dapat melihat, dari tangan ibu yang juga bercita-cita besar, yang sabar dan tabah mendidik anak untuk menadi seorang yang hebat, lahirlah seorang Sultan, yang pada umurnya sangat muda, yakni 23 tahun, dia berjaya menawan Konstantinopel dalam masa sebulan lebih, sedangkan kaum muslimin telah berusaha 800 tahun sebelumnya dan tidak berjaya.

Hari ini, siapakah antara kita yang bercita-cita besar untuk Islam, seterusnya mendidik anak-anak kita degan didikan yang mampu merealisasikan cita-cita itu?

Siapa?

Salahuddin kedua?

Seringkali kita mendengar suara-suara melaung memanggil Salahuddin kedua.

Ternyata bahawa Salahuddin Al-Ayubi kedua tidak wujud. Dia tiada. Tiada Salahuddin yang kedua. Sesiapa yang melaung-laungkan laungan seperti:

“Di manakah Salahuddin kedua?”

“Nanti Allah akan datangkan Salahuddin kedua untuk membela ummah ini”

Mereka ini telah menyandarkan harapan kepada impian kosong.

Kerana Salahuddin Al-Ayubi kedua tiada. Yang ada hanyalah kita. Kita.

Jadi, kitalah sepatutnya bergerak mendidik diri menjadi Salahuddin Al-Ayubi yang kedua. Bukannya melaung-laung menunggu. Lihatlah ummat Islam terdahulu berurusan dengan hadith Rasulullah SAW tadi. Mereka bukan menunggu munculnya raja terbaik dan tentera terbaik itu.

Mereka bergerak, berlumba, menjadi raja dan tentera yang terbaik itu. Hatta ibu-ibu yang ada pun mentarbiyah anak-anak mereka untuk menjadi apa yang hadith itu katakan. Mereka bukannya menunggu. Tetapi mereka berlumba untuk menjadinya.

Penutup: Kita, Sultan Muhammad Al-Fateh dan ibunya

Pengajaran yang besar dalam perkongsian ini adalah, tarbiyah anak-anak sedari kecil.

Kita selalu merungut anak kita tidak soleh, nakal. Kita sibuk cari ubat lembut hati dan sebagainya. Tetapi hakikatnya, kita terlupa, kita hakikatnya tidak mendidik mereka secara betul. Semasa kecil, kita terlalu manjakan mereka hingga semuanya kita beri. Didikan agama, kita serahkan pada sekolah agama semata-mata. Tidak kitaa usahakan dengan tangan kita, dengan akhlak kita, dengan qudwah kita.

Silap masyarakat adalah, pendidikan diserahkan 100% kepada sekolah. Sedangkan rumah adalah madrasah pertama manusia.

Kedua, bergerak menjadi. Muhammad Al-Fateh, inspirasinya adalah hadith tadi. Dengan hadith itu, dia berusaha untuk menjadi Sultan yang diramalkan. Bukan untuk kebanggaan diri. Tetapi untuk mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Dia berusaha. Kalau Rasulullah kata sebaik-baik raja, pastinya sebaik-baik raja di sisi Allah. Rasulullah tiada katanya yang dusta.

Maka siapa antara kita yang bergerak menyahut ratusan janji-janji Allah SWT dan Rasulullah SAW di dalam Al-Quran dan hadith?

Siapa?

Atau terus menunggu, menanti-nanti Salahuddin Al-Ayubi kedua yang tak kunjung tiba?

Sedangkan Salahuddin Al-Ayubi itu sendiri pun, dia bukan menunggu sesiapa, tetapi menggerakkan dirinya sendiri untuk menjadi pembuka Palestina.
Jawapannya adalah KITA.
 ~sama-sama kita amalkan moga akan lahir generasi akan datang adalah generasi yang akan menjadi pejuang kepada Agama Allah.  Akan lahirnya Sultan Muhamaad Al Fateh yang seterusnya...bukan sekadar nama tapi pada perjuangannya~ Ameen

Sumber : http://ms.langitilahi.com/motivasi-ibu-muhammad-al-fateh