Sesi bersama Pak Long Zainul Asri
sesi bersama Ustaz Musoddak
Majlis peramian oleh Yb Ustaz Nasir
"Allah menetapkan (menjamin) kebahagiaan bagi suami dan isteri yangbertaqwa kepada Allah pada pasangan mereka, Allah juga menjamin kebahagiaan bagi rumah yang didirikan atas dasar pemeliharaan hak dan pelaksanaan tanggungjawab."
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Pada hari Rabu yang lepas, tercatat satu peristiwa yang amat besar maknanya bagi umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza. Sebanyak 240 buah ambulan dan kenderaan membawa ubat-ubatan, makanan, permainan kanak-kanak dan peralatan sekolah Berjaya memasuki Gaza melalui Rafah di sempadan Mesir.
Bantuan ini adalah dari convoy Viva Palestina 3 (yang bermaksud hidup Palestin) yang digerakkan oleh seorang ahli parlimen British, George Galloway. Rombongan ini bertolak dari London pada 5 Disember 2009 dan setelah merentas Benua Eropah selama 31 hari, mereka sampai ke Gaza pada 6 Januari 2010. Bantuan ini disumbangkan oleh warga dari 17 negara termasuk Malaysia. Sebanyak 9 buah ambulan adalah sumbangan dari rakyat Malaysia.
Meskipun rombongan ini selamat sampai untuk menyerahkan barang-barang bantuan yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza yang sudah terkepung dan terkurung selama 3 tahun, namun misi ini hanya Berjaya dilaksanakan setelah menerima pelbagai mehnah dan ujian yang amat berat. Lebih malang lagi, kesukaran yang mereka lalui bukan kerana mereka dihalang oleh Israel tetapi halangan itu datangnya dari Negara Islam sendiri. Mesir sebagai jiran terdekat kepada Gaza diharapkan akan memberi sokongan dan memudahkan laluan convoy sebaliknya mengenakan pelbagai syarat dan menyukarkan usaha untuk menyalurkan bantuan. Bahkan tindakan zalim dan tidak berperi kemanusiaan Mesir hampir-hampir menggagalkan harapan untuk menyalurkan bantuan sejumlah 2 juta USD sumbangan dari warga dunia yang prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan Negara.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah.
Mesir bertindak menghalang konvoi untuk mendarat di pelabuhan Nuweiba di Semenanjung Sinai. Akibatnya convoy yang sudah berada di Aqaba, Jordan dan menanti pengangkutan laut untuk menyusuri laut Merah dan mendarat di pelabuhan Nuweiba terpaksa berpatah balik melalui Syria. Dari Pelabuhan Latakia, konvoi terpaksa menggunakan 3 buah feri untuk ke pelabuhan al-Arish melalui laut Mediterranean. Pelabuhan al-Arish adalah pelabuhan kecil yang tidak sesuai untuk laluan sejumlah kenderaan sebanyak itu. Di samping itu, pengiring dan sukarelawan terpaksa menaiki kapal terbang dan menyertai kenderaan mereka di pelabuhan al-Arish. Akibat dari halangan dari kerajaan Mesir ini, convoy terpaksa menanggung kos tambahan melebihi USD 500,000.
Sebaik sahaja tiba di Al-Arish, pehak berkuasa Mesir hanya membenarkan sebahagian kecil sahaja pengiring memasuki Gaza. Bantahan dari sukarelawan telah menyebabkan passport mereka dirampas dan hanya dikembalikan setelah didesak. Kemudian Mesir mengenakan satu lagi syarat iaitu lebih dari 50 kenderaan mesti di serahkan melalui Israel. Keadaan ini telah menimbulkan bantahan dari pengiring convoy. Kemudian kita diberitahu pihak berkuasa Mesir telah bertindak ganas ke atas sukarelawan dengan membaling batu kepada mereka, memukul, mencedera dan menangkap beberapa orang anggota convoy, termasuk seorang pelajar perubatan dari Malaysia yang sedang menuntut di UK.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari peristiwa yang bukan melukakan umat Islam sahaja tetapi seluruh warga dunia yang masih ada rasa ehsan di hati mereka. Di satu pihak kita menyaksikan bagaimana warga Britain , Amerika Syarikat dan Eropah menaja beberapa buah ambulan dan bekalan ubat-ubatan atas rasa prihatin terhadap penduduk Gaza. Bahkan salah seorang dari sukarelawan yang menyertai protes di Kaherah adalah seorang Yahudi yang berumur 82 tahun dan merupakan mangsa kepada tragedy holoucaust, pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi oleh Hitler semasa Perang Dunia Kedua. Beliau telah menyertai mogok lapar kerana membantah tindakan kerajaan Mesir menyekat bantuan kepada penduduk Gaza. Kita juga menyaksikan berapa ratus warga Peranchis telah dibelasah dengan teruk oleh polis Mesir kerana meyokong penduduk Gaza di Kaherah.
Kemudian di satu pihak yang lain di kalangan kerajaan sebuah Negara islam, kita menyaksikan satu kekejaman dan penganiayaan yang tidak ada tolok bandingnya. Bagaimana sebuah kerajaan yang diterajui oleh umat islam tergamak bertindak seperti yang dilakukan oleh Mesir. Bagaimana mereka cuba menghalang dunia dari membantu penduduk gaza, tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh Mesir sendiri sebagai jiran tetangga terdekat. Bukan sahaja mereka bersekongkol dengan Israel bahkan turut sama mengepung dan menutup sempadan Gaza. Sudahlah mereka mengenakan pelbagai sekatan kepada penduduk gaza, mereka turut menghalang orang lain dari menghulurkan bantuan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Semua ini menuntut kita untuk menilai peristiwa ini dengan neraca iman. Kadang-kala umat islam terbawa-bawa dengan pemikiran sekular lalu membuat kesimpulan yang jauh dari kebenaran. Ini ditambah pula dengan kecenderungan Asobiyah (kebangsaan sempit) lalu merendah-rendahkan bangsa Arab. Mereka melemparkan tuduhan bahawa orang Arab memang tidak boleh dibawa berunding. Bahkan ada yang tergamak mengatakan tidak ada gunanya membantu rakyat Palestin kerana mereka sentiasa tidak sehaluan dan sentiasa bertelagah.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah.
Ini tiada kena mengena dengan bangsa Arab atau apa bangsa sekalipun. Apa yang kita saksikan adalah satu manifestasi dari satu pertembungan di antara haq dan bathil. Gambarannya telah pun diberitahu oleh Rasulullah SAW.
Abu Hurayrah menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Sebahagian dari umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di pintu-pintu al-Quds (palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikitpun. Mereka akan tetap menang, mempertahan kebenaran sehingga saat datangnya kiamat”
Riwayat At-Tabarani
Nahik Ibn Surim al-sakuni menyampaikan dari Rasulullah SAW “Kamu akan memerangi golongan kafir sehingga sebahagian kamu yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka di sebelah barat (Palestin yang terjajah)”
Dari Ibn Hajar al-Asqalani
Muadz bin Jabal menyampaikan dari Rasulullah SAW “Allah Maha Besar akan member kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas kewafatanku. Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai as-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan.”
Rasulullah SAW mengatakan berhubung penghuni Tanah suci (al-Quds), “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka – lelaki dan perempuan) adalah di dalam ‘ribat (pengawal pada kubu) pada jalan Allah”
At-Tabarani
Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Ada di kalangan umat ku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat” Para sahabat bertanya ‘Di mana mereka itu”? Rasulullah SAW menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”
Iman Ahmad
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah SAW adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun disusun oleh Allah SWT. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya dari rasulullah SAW sedang kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk berjuang pada jalan Allah?
Hari ini kita melihat pemimpin-pemimpin Negara-negara Islam telah mengkhianati perjuangan Islam dan umat Islam seperti apa yang dilakukan oleh Mesir. Namun kita yakin dengan Allah SWT, bahawa pengkhianatan dan pembelotan pemimpin-pemimpin yang memaksakan kepimpinan mereka ke atas umat islam tidak akan mampu mengkhianati perjuangan rakyat Palestin bahkan perjuangan umat Islam di mana jua. Umat Islam di Palestin tidak pernah goyah dalam mempertahankan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa selama lebih 64 tahun mengikut taqwim hijri. Kalau perjuangan ini digarap oleh orang yang tidak beriman, maka sudah lama masjid al-Aqsa sudah diruntuhkan dan diganti dengan haikal Sulaiman, tempat penyembahan orang Yahudi. Tetapi ini tidak berlaku dan ia sama sekali tidak akan berlaku kerana Allah telah menjamin keselamatan tanah sucinya dengan meletakkan jundullah, tentera-tentera dari kalangan para mukmin yang ikhlas berjihad pada jalan Allah.
Mesir tidak akan berhenti untuk meneruskan perjuangan sia-sianya. Kini Mesir sedang menanam kepingan keluli sedalam 20 hingga 30 m untuk menutup terowong-terowong yang memasuki gaza dari Rafah. Terowong-terowong in adalah satu-satunya saluran untuk penduduk Gaza mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan dalam keadaan terkepung dari semua arah.
Prof Dr Yusuf Qardhawi, Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam telah membidas Mesir dan mengingatkan mereka supaya menghentikan jenayah keji ke atas saudara-saudara mereka sendiri. Tindakan Mesir, menurut Prof Al-Qardhawi sama dengan mengatakan ‘Palestin boleh mati dan Israel boleh terus hidup!” Beliau menggesa rakyat Mesir supaya bangkit menolak tindakan keji pemerintah Mesir dan mendesak Liga Arab serta OIC supaya menekan Mesir untuk menghentikan perbuatan terkutuk itu. Namun seperti yang dijangka tidak ada pemimpin Negara Islam yang menyahut seruan persaudaraan Islam ini. Cuma Turki setakat ini yang menunjukkan contoh yang wajar diikuti. Sewaktu Mesir menahan convoy dan menangkap sukarelawan, 10 orang pemimpin Turki telah berunding dengan kerajaan Mesir supaya memberi laluan kepada konvoy dan melepaskan sukarelawan yang ditahan. Turki juga membiayai kapal terbang yang disewa khas untuk menerbangkan para sukarelawan akibat dari perubahan laluan konvoy.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Marilah kita sama-sama merenung dengan mata hati akan pesan-pesan Allah di dalam al-Quran
“Orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah di antara saudara-saudaramu dan tunaikanlah tanggungjawabmu kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
Al-Hujurat: 10
Nabi Muhammad (SAW) berkata,
"Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain, dia tidak berbuat salah kepadanya, mengecewakannya, atau mengabaikannya. "
Prof Al-Qardhawi juga mengingatkan kita akan pesan Rasulullah SAW
"Bantulah saudaramu, sama ada jika dia menindas [dengan mencegah dia dari melakukannya] atau jika dia ditindas." Nabi tidak berkata, "kepung dia, biarkan dia kelaparan, atau tindas dia bagi pihak musuhmu."
Menjadi kewajipan dan tanggungjawab Mesir untuk membuka laluan Rafah bagi manfaat warga Gaza kerana itulah satu-satunya jalan keluar bagi mereka.Kewajipan ini bukan sahaja tuntutan syariat Islam tetapi juga kehendak undang-undang. Tidak ada undang-undang yang mengarahkan cengkaman dikenakan ke atas umat Gaza atau menyuruh supaya menjadi tali barut dalam membunuh mereka.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Akhirnya kita mengingatkan diri kita semua bahawa Gaza adalah tempat kelahiran ramai ulama tersohor yang lahir di kalangan umat ini. Imam as-Syafii, yang menjadi ikutan umat Islam di Malaysia adalah kelahiran Gaza. Begitu juga ulama besar Imam Ibn Hajar al-Askalani adalah kelahiran Askalan yang kini dijajah oleh Israel di utara Gaza dan dinamakan Ashkalon. Apakah kita rela tanah kelahiran ulama-ulama besar ini diperlakukan sedemikian rupa.
Wahai saudara-saudara seiman. Marilah kita menyahut seruan jihad dengan harta dan jiwa kita untuk meninggikan kelimah Allah di atas muka bumi ini. Di manapun kita berada kita wajib menyertai seruan jihad ini dengan segala kemampuan yang ada. Baitul Maqdis adalah tanggungjawab seluruh umat Islam. Setiap seorang dari kita pasti akan bangkit di kemudian hari dan akan dipertanggungjawabk an apa yang telah kita lakukan untuk membela tanah suci kita.
Surah as-Saff 8 - 9
Kemenangan telah dijanjikan oleh Allah.
“Mereka menutup cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya walaupun orang kafir membenci. Dialah yang telah mengutuskan rasul dengan petunjuk dan Din (agama) yang haq untuk dimenangkan di atas segala agama, meski orang-orang musyrik membenci
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ
Menyingkap pandangan baru berkenaan pro dan kontra wanita/muslimah menyanyi. Pandangan ini mungkin sudah lama tapi baru diketengahkan. Persoalan yang menarik untuk dikupas dan dibahaskan. Ikuti perkongsian ilmu bersama Ustaz Zul Ketua Pemuda Kawasan berikutan program yang bakal dianjurkan oleh Nisa' akan datang.
Atau pendekatan Ahli Usuluddin dengan menyatakan ‘Tak boleh. Kalau engkau masuk Islam, tapi terus mencuri maka engkau akan berdosa dan akan masuk dalam neraka.’Dalam kes ini, Nabi saw menggunakan pendekatan dakwah dengan mengatakan ‘Boleh. Syaratnya engkau jangan berbohong.’Seronoknya si kafir ini bila mendengar jawapan Nabi saw lalu ia memeluk Islam. Tatkala ia hendak mencuri ia teringat bagaimana kalau Nabi saw bertanya apakah ia ada mencuri atau tidak hari ini. Baginya tentu rasa malu untuk mengaku mencuri sebab sudah memeluk agama Islam. Sedangkan dia terpaksa bertemu Nabi saw setiap hari kerana mahu belajar Islam. Maklumlah baru masuk Islam. Bila bertemu Nabi saw, tentu Nabi akan bertanya, hari ni ada mencuri atau tidak. Akhirnya si muallaf itu terus berhenti mencuri. Inilah kehebatan pendekatan dakwah yang memerlukan kebijaksanaan yang cukup tinggi.
Pandangan terhadap konsert terutama dalam isu penyanyi wanita yang tidak dibenarkan menyanyi
Terlebih dahulu perlu untuk dijelaskan bahawa pandangan yang akan dikemukakan ini berdasarkan pendekatan dakwah dengan mengambil kira hukum Islam. Mengenai konsert, ianya tidak menjadi satu kesalahan. Yang salahnya ialah perlaksanaan samada dari sudut percampuran lelaki dengan perempuan, masa persembahan, lirik lagu serta gerak badan yang melampau. Adapun penyanyi wanita, mereka boleh terus menyanyi asalkan mereka bersedia menjaga adab sopan dan akhlak Islam sesuai dengan kewanitaan mereka. Antaranya ialah mereka mesti menutup aurat dan tiada lenggang lengguk yang mengiurkan.
Bagaimana pula dengan suara wanita yang dikatakan aurat
Ya. Persoalan inilah yang menarik untuk dibahaskan. Sebenarnya aurat wanita jika mengikut Ulama’ Muktabar termasuk Al Imam An Nawawi, ianya tidak aurat. Namun begitu, ada juga yang menyatakan aurat. Cuma ianya menjadi perbahasan apabila wanita menggunakan suara untuk menyanyi.
Dalam hal ini pandangan Dr. Yusuf Al Qardhawi dan Dr. Abdul Karim Zaidan di mana mereka berdua menyatakan harus wanita menyanyi di khalayak ramai asalkan mereka menjaga adab-adab iaitu menutup aurat dan tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah. Hujahnya ialah Nabi saw pernah membiarkan hamba wanita menyanyi sedangkan pada masa itu Abu Bakar r.a menegur Aisyah dengan berkata, suara syaitan apa ini? Jadi, dalam konteks dakwah, tidak ada salah kalau dibenarkan wanita menyanyi? Apa yang perlu untuk dibimbangkan sekiranya kita terlalu ‘ketat’ dalam masalah begini maka ia akan merugikan Islam dan dakwah Islam sekaligus menjadikan Islam kelihatan bukan satu Ad Din yang meraikan naluri manusia dengan memandu naluri manusia mengikut acuan Islam. Naluri manusia terutama anak muda ialah mereka mahukan kepada hiburan. Jadi kita perlu untuk mengemukakan bentuk hiburan mengikut acuan Islam. Jangan terlalu membantah dan menyekat program hiburan. Kalau ini berterusan, anak muda akan takut dan lari dari kita dan Islam itu sendiri kerana mereka akan berpandangan apabila mengikut Islam naluri akan tersekat dan terhalang...namun yang sebenarnya Islam tidak menyekat naluri manusia malah menyediakan saluran untuk menzahirkannya
Bentuk konsert yang paling minimum dan wajar diadakan
Bentuk konsert yang boleh diketengahkan buat masa ini ialah seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan tempohari semasa Mawi mengadakan persembahan. Waktu itu, M.Nasir juga dijemput. Cuma, eloklah kalau dibenarkan juga penyanyi wanita mengadakan persembahan dengan syarat mereka menutup aurat dan tidak menari berlebihan. Hidupkan syiar dengan mengadakan slot di mana diadakan juga satu ceramah atau tazkirah ringkas antara beberapa lagu dan adakan juga zikir munajat. Sebagai penganjur kita yang perlu untuk menetapkan peraturan program bukannya mengikut saja kehendak penonton. Ceramah atau tazkirah pula, hendaklah menjurus kepada persoalan yang boleh menyedarkan hadirin tentang apa tujuan mereka hidup, untuk apa mereka dihidupkan dan ke mana mereka akan pergi. Dengan cara ini, jiwa anak muda yang kosong akan terisi dan terusik dek ceramah yang menyentuh tentang kehidupan hakiki. Dengan adanya tazkirah dan ceramah serta zikir munajat, hidayah akan menyelinap masuk ke dalam hati mereka. Pada masa itu, mereka akan dapat merasai kepuasan dan ketenangan jiwa yang luar biasa mengalahkan kepuasan yang diperolehi menerusi hiburan ‘menyanyi’ semata-mata.
Tazkirah dan ceramah serta zikir munajat, Insya Allah mampu mengetuk pintu hati mereka untuk menghayati ajaran Islam. Maknanya kita kena ambil peluang di atas kehadiran anak muda untuk mendengar nyanyian dengan menyelitkan sedikit tazkirah dan zikir munajat. Di kala itu juga mereka mula faham bahawa Islam tidak melarang untuk berhibur tetapi berhibur tidak boleh berlebihan sebagaimana garam tidak boleh berlebihan dalam makanan. Kelak ia masin langsung tidak boleh dimakan atau ia akan merosakkan kesihatan. Begitulah juga hiburan dalam Islam tidak boleh berlebihan kelak ia akan merosakkan jiwa dan masyarakat. Hiburan hanya sekadar untuk menghilangkan kebosanan dan kepenatan jiwa, badan dan fikiran.
Mungkin mereka bosan dan penat dalam menjalani hidup mereka, tambahan pula dengan tekanan dari sudut ekonomi angkara rasuah dan penyelewengan pemimpi. Jadi mereka nakkan kepada hiburan. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan alternatif ini.
Dalam ilmu dakwah, apakah pertimbangan yang di ambil kira sehingga kadang-kadang semacam ianya bertentangan dengan hukum
Pertimbangan dalam berdakwah ialah kita hendaklah meminimumkan kejahatan dan kemungkaran diperingkat awal, untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum di peringkat akhirnya. Banyak di kalangan kita begitu ghairah untuk mendapatkan kebaikan yang maksimum seawal dan secepat mungkin, yang akhirnya langsung tak dapat apa-apa. Maknanya kita perlu bijak mencongak sifir. Contohnya cuba kita lihat pada jawapan Nabi saw bila ditanya oleh lelaki kafir, apakah boleh saya masuk Islam tetapi saya nak terus mencuri. Nabi saw kata boleh. Syaratnya jangan menipu. Seolah-olah Nabi saw melawan hukum. Dalam hal ini, jika Nabi saw kata tidak boleh maka mungkin si lelaki itu akan terus kekal dalam kekufuran. Inilah yang dikatakan ‘meminimumkan kejahatan’. Namun begitu, Nabi saw tetap menaruh harapan agar si lelaki itu berubah perangai menjadi insan yang soleh.
Oleh kerana itu Nabi saw memberi syarat ‘jangan menipu’. Maksudnya oleh kerana lelaki tu sudah memeluk Islam maka dia perlu sentiasa hadir majlis ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Di situlah lelaki itu akan menghirup hidayah ilahi. Sudah tentu Nabi saw akan bertanya setiap hari, apakah beliau mencuri pada hari tersebut. Tentunya beliau malu untuk menipu sekiranya beliau ada mencuri. Sebab Nabi saw sudah memberi syaratnya iaitu jangan menipu. Bermula dari itulah maka beliau terus meninggalkan kerja mencuri. Inilah yang dikatakan ‘kebaikan maksimum diakhirnya’. Dalam konteks konsert seperti yang dicadangkan tadi, kita cuba meminimumkan kemungkaran dalam konsert. Caranya ialah mereka diberi syarat menutup aurat dan jangan menari-nari dengan tarian yang melampau, percampuran lelaki dan perempuan harus dibataskan, waktu persembahan juga harus diambil kira dan slot untuk tazkirah perlu diadakan. Akhirnya kita akan dapat melihat ‘kebaikan maksimum’ akan berlaku pada anak muda dan artis kita sekaligus menjadikan kita adalah sebuah kerajaan mesra seni dan budaya, bukannya menolak atau membantah program kesenian dan kebudayaan tanpa mengemukakan altenatifnya. Keuntungan dari sudut dakwah kalau dianjurkan konsert seperti yang dicadangkan. Apa yang nak ditonjolkan kepada anak muda bahawa Islam tidak menghalang manusia untuk berhibur samada menerusi konsert atau teater dan seumpamanya. Jika kita hanya tahu mengambil pendekatan ‘membantah konsert’ bukannya menguruskan konsert mengikut acuan akhlak Islam dan tidak membenarkan langsung wanita menyanyi di khalayak ramai maka ini seolah-olah akan membiarkan mereka untuk mencari altenatif yang lain. Keduanya dari sudut mengubah minda, jiwa dan adab sopan. Dengan adanya ceramah atau tazkirah ringkas serta zikir munajat serta syarat menutup aurat dan tiada lenggang lengguk yang melampau maka berlaku perubahan pada jiwa, minda dan akhlak samada di pihak artis maupun pengunjung. Selama ini ramai beranggapan bahawa tidak menarik sekiranya artis tak mendedahkan aurat dan tidak ada tarian. Tetapi apabila dikenakan pakaian menutup aurat dan tiada pergerakan badan yang melampau maka mereka tetap terhibur juga. Bahkan artis itu sendiri kelihatan lebih ayu dan sopan bila bertudung. Namun harus diingat ini adalah salah satu dari pendekatan Dakwah jangan ia disalah gunakan untuk membuka lebih banyak ruang maksiat. Wallahua’lam