4/13/10

ORANG IKHLAS TERTINDAS?


Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa…
betapa kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami
yang baik, ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…

Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu
cerah. Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan
susah, agar di hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang,
barulah tercipta keharmonian, keseimbangan…

Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk
mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati
sendiri atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?

Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar  daripada itu… benar-benarkah
kita orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba
mengikhlaskan hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau
sesuatu pihak?

Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah,
bantulah kami untuk ikhlas…Amin.

Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah
muhasabah di pagi Jumaat yang barakah ini…

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas
walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu.
Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku
sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di
sebuah organisasi.


“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata
seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa
bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada
ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai
saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah
berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali
terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan
bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan
diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan
marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali.
Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak
pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya
kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam
sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang
anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam
profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah
dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya
sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya.
Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan
naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik
pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak
pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih
anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat.
Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam
organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir
berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak
lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah
berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu
misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi
yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam
hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada
kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita
berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja,
tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di
tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya.
Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan
akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden
rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara
apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu
jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba
sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk
masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi
isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk
di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya
lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya
sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau
setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah
lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong
sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita
bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita
bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita
tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk
memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada
di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati
orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas
kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam
kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A
yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya
yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya
kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan
Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka
tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada
orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan
melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi,
Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di
dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.
Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang
setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan
kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat
atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki
bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.
Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat
yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi
ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give
you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi
untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan
kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang
pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang
berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang
tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya,
tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”,
kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan
diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan
berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang
kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau
kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan
berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan
berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya
mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada
yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita
yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan
dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan
besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa
memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas
daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

4/8/10

MENYELAMI WASIAT SYED QUTB

"Beliau adalah salah seorang mujahid agong abad ke 20 yang syahid di tali gantung kerana mempertahankan ‘Rabbuna’Llah’.


MENYELAMI WASIAT SYED QUTB

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan airmatamu
Maka di atas tulang-tulangku
Yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat ummat ini
Dan ……
Teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Saudara!
Kematianku adalah satu perjalanan
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu
Taman-taman di syorga Tuhanku bangga menerimaku
Burung-burung-Nya berkicau riang menyambutku
Bahagialah hidupku di alam abadi

Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelanan di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar

Wasiat ini di tulis beberapa ketika sebelum beliau menemui syahid. Jika di baca sekali imbas, tidak akan dapat di fahami sepenuhnya. Tetapi sebaliknya jika dibaca berulang-ulang kali dan cuba menghayati apa maksud yang tersirat di sebalik keindahan bait bait sajak beliau itu maka kita akan dapat merasai kesayuan dan menangisi pemergian beliau - berkorban hatta nyawa demi Islam. Beliau adalah salah seorang mujahid agong abad ke 20 yang syahid di tali gantung kerana mempertahankan ‘Rabbuna’Llah’.

Beliau telah mengorbankan sebahagian besar hidupnya dalam mendalami Al-Qur’an (lebih 10 jam sehari) dengan roh perjuangan dan ketegasan sikap serta pemikiran yang cukup bernas. Hingga kini hasil penulisan beliau yang dibukukan menjadi rujukan kepada setiap peringkat gerakan dan pencinta Islam.

Pesanan akhir beliau dirangkumkan dalam bentuk puisi/sajak dan amat menyentuh perasaaan jika memahami maksud yang tersirat. As-Syahid Syed Qutb mengisytiharkan bahawa tugas tugas beliau di muka bumi ini telah selesai dan telah sampai masanya dia kembali kepada Allah SWT yang sememangnya di nanti-nantikan. Hasil kreativiti dan penulisan beliau telah cukup menjadi saksi beliau di hadapan Allah SWT dan menjadi bekalan dan rujukan kepada pencinta-pencinta Islam yang akan meneruskan perjuangannya.

Pada rangkap pertama, As-Syahid amat pasti bahawa akan ada saudara-mara, sahabat handai dan para dai yang menangisi pemergiannya (kematiannya). Beliau yakin, tangisan itu akan menyalakan semangat atas dasar iman (nyalakan obor buat umat ini) untuk meneruskan perjuangannya hingga berjaya. Perjuangan untuk mendaulatkan Deen Allah di dalam kehidupan tidak akan berkahir, walaupun perjuangannya telah kembali kepada Allah SWT. Pasti ada pejuang lain yang akan tampil mengganti di kalangan Ikhwan yang diproses keimanannya. Beliau amat mengharapkan para pendakwah TERUSkan kewajiban berjihad menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang munkar hingga berjaya dan sekaigus menumpang Jahiliyah yang bermaharajalela di muka bumi ini. Perjuangan itu ibarat mengenggam bara api sampai menjadi arang (diatas tulang-tulangku yang hancur luluh) dan ibarat lilin yang membakar demi Islam!

Rangkap kedua beliau menyatakan bahawa berakhirnya hayat beliau di tali gantung bukan bermakna beliau telah mati. Sebaliknya beliau masih hidup di sisi Allah SWT.

Janganlah kamu menyangka orang yang gugur berjuang pada jalan Allah itu mati. Sesungguhnya mereka itu hidup dan diberi rezeki oleh Allah.” (Ali Imran: 169)

“Kematianku adalah satu perjalanan mendapatkan kekasih yang sedang merindu”, merupakan ayat yang sangat indah bunyinya membawa maksud yang menyentuh perasaan. As-Syahid seolah olah memujuk para pendakwah agar tidak terus menangisi kehilangannya. Tidak ada apa yang perlu disedihkan kerana rohnya sedang mengembara (perjalanan) menuju kepada Allah SWT untuk bersama roh roh para anbiya dan para syuhada’ yang sedang menunggunya (kekasih yang sedang merindui).

Pintu-pintu syorga terbuka luas menerima rohnya (taman-taman di syorga Tuhanku bangga menerimaku). Perkataan BANGGA memberi maksud yang amat kuat bahawa segala apa yang disediakan di syorga ternanti-nanti menerima kedatangan dan kehadiran pendakwah sepertinya. Burung-burung merupakan simbolik pada para bidadari atau mala’ikat. Mala’ikat dan para bidadari riang menyambut kedatangannya dan melayaninya sebagai di antara tetamu yang teristimewa di syorga. Ternyatalah bahawa di saat akhir hayatnya, As-Syahid telah terbau harum syorga atau terbayang keadaan syorga menantinya. Dengan keyakinan itu, beliau berani menyatakan bahawa hidupnya bahagia di alam abadi (Bahagialah hidupku di alam abadi).

Dalam rangkap ketiga, beliau menanamkan keyakinan dan semangat terus berjuang bahawa alam ini akan disinari fajar lagi. Tidak mustahil daulah Islam akan tertegak lagi di muka bumi ini. Menurut keyakinannya, “puaka kegelapan pasti akan hancur” bermaksud jahiliyah yang diwakili oleh ‘kuasa besar’ Amerika dan Russia pasti akan tumbang. Karangan beliau ‘Masa Depan di tangan Islam’ (‘Al Mustaqbal Lihaza Al-Din) memperkatakan tentang keyakinan itu. Kenyataan beliau telah dibenarkan oleh reality kini bahawa kerajaan Komunis Russia telahpun tumbang.

Beliau mengulangi lagi tentang keadaan rohnya. Jiwanya pasrah dan rela dibunuh untuk mempertahankan kalimah “Lailaha illallah Muhammadur Rasulullah” agar sentiasa bergema di muka bumi ini. “Biarlah rohku pergi mendapatkan rindunya” merupakan satu penekanan bahawa pengorbanan untuk menegakkan daulah Islam tidak ada ruginya. Walaupun di dunia terasa seperti kerugian, tetapi hakikatnya roh beruntung kerana dapat berkumpul bersama-sama roh yang merinduinya. Roh yang sentiasa di dalam pemeliharaan Allah dan disanjung oleh Allah SWT."

kita?diuji sikit sudah gelabah dibuatnya...moga ujian yang menimpa adalah sebagai penghapus dosa yang lalu dan juga peningkatan darjat di hadapan Allah kelak. Macam-macam jenis perangai manusia di muka bumi Tuhan ini. Ada yang kononnya dialah juara dalam menangani masalah..ada juga yang mengaku sayang kepada jemaah tapi tidak ada adab dan akhlak dalam berjemaah..apa-apa saja.peringatan buat diri sendiri...

p/s - 'perompak' maaf tak sempat nak promosi lambai..hari ni baru sempat nak update blog.selamat berprogram..maaf juga tak dapat turun. tahun depan lak insyaAllah...:)

4/1/10

Dakwah Tak Boleh Dipikul Oleh Orang yang MANJA

Perjalanan dakwah yang kita lalui ini bukanlah perjalanan yang akan ditaburi dengan hamparan permaidani merah dan kesenangan. Ia merupakan perjalanan panjang yang penuh rintangan, mehnah dan tribulasi. Telah banyak sejarah orang-orang terdahulu yang merasa pahit getirnya perjalanan dakwah ini. Ada yang diseksa, ada yang harus berpisah dengan sanak-saudara, ada pula yang diusir dari kampung halamannya dan berderetan lagi kisah perjuangan manusia lain yang telah mengukir bakti dari pengorbanannya dalam jalan dakwah ini. Mereka telah merasakan dan sekaligus membuktikan cinta dan kesetiaan terhadap jalan dakwah yang suci ini.


Cuba kita renungkan kisah peperangan Dzatur Riqa’ yang dialami oleh sahabat Abu Musa Al Asy’ari dan para sahabat lainnya. Mereka telah merasakannya hingga 
kaki-kaki mereka robek dan kuku tercungkil. Namun mereka tetap mengharungi perjalanan itu tanpa mengeluh sedikitpun. Bahkan, mereka malu untuk menceritakannya kerana keikhlasan mereka dalam perjuangan. Keikhlasan membuatkan mereka gigih dalam pengorbanan dan menjadi tinta emas sejarah umat dakwah ini. Buat selamanya.

Pengorbanan yang telah mereka berikan dalam perjalanan dakwah ini menjadi suri teladan bagi kita sekalian. Kerana sumbangan yang telah mereka berikan, dakwah ini tumbuh bersemi dan kita pun dapat menikmati hasilnya dengan gemilang. Kawasan Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia dan 
umat Islam telah mengembangkan populasi dalam jumlah besar. Semua itu kurnia yang Allah swt. berikan melalui kesungguhan dan kesetiaan para as-Sabiqun al-Awwalun dalam medan dakwah ini. Semoga Allah meredhai mereka. Renungkanlah pengalaman mereka sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surat At-Taubah: 42.

لَوْ كَانَ عَرَضاً قَرِيباً وَسَفَراً قَاصِداً لاَّتَّبَعُوكَ وَلَـكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُون) التوبة : 42)
"Kalaulah apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu adalah jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)."

Mereka juga telah melihat pengajaran daripada orang yang dapat bertahan dalam mengharungi perjalanan yang berat itu, 
hanya kesetiaanlah yang dapat mengukuhkan perjalanan dakwah ini. Kesetiaan yang menjadikan pemiliknya sabar dalam menghadapi cubaan dan pancaroba perjuangan. Ia menjadikan mereka optimis dalam menghadapi kesulitan dan siap berkorban untuk meraih kejayaan. Kesetiaanlah yang menghantarkan jiwa-jiwa patriotik ini untuk berada pada barisan paling depan dalam perjuangan. Kesetiaan jualah yang membuat pelakunya berbahagia dan sangat menikmati beban hidupnya serta setia dalam kesempitan dan kesukaran mahupun kelapangan dan kemudahan.

Sebaliknya orang-orang yang
manja jiwanya dalam perjuangan ini tidak akan dapat bertahan lama. Mereka selalu mengeluh atas beratnya perjalanan yang mereka tempuh. Mereka pun menolak untuk menunaikan dakwah dengan pelbagai macam alasan agar mereka diizinkan untuk tidak berjuang. Mereka pun berat hati berada dalam perjuangan ini dan akhirnya berguguran satu persatu sebelum mereka sampai pada tujuan perjuangan. Penyakit wahan telah menyerang jiwa-jiwa mereka yang rapuh sehingga mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa kepahitan adalah sebahagian risiko dan sunnah dakwah ini. Malah kesanggupan dalam dakwah mereka tergugat lantaran anggapan mereka bahawa perjuangan dakwah tidak harus mengalami kesulitan.

إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ* وَلَوْ أَرَادُواْ الْخُرُوجَ لأَعَدُّواْ لَهُ عُدَّةً وَلَـكِن كَرِهَ اللّهُ انبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُواْ مَعَ الْقَاعِدِينَ ) التوبة : 45-46)
“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya. Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan): “Tinggalah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”. (At-Taubah ; 45-46)

Kesetiaan yang ada pada mereka merupakan kayu ukur ampuh untuk menilai daya ketahanannya dalam misi dakwah. Sikap ini membuatkan mereka 
sentiasa bersiap-siaga untuk menjalankan tugas yang terpikul di pundaknya. Mereka pun dapat menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya. Bila ditugaskan sebagai perajurit paling hadapan dengan segala akibat yang akan dihadapinya, ia sentiasa berada pada posisinya tanpa ingin meninggalkannya sekejap pun. Atau apabila mereka ditempatkan pada bahagian belakang, ia akan berada pada tempatnya tanpa berpindah-pindah dan terliur dengan apa yang diperolehi oleh barisan depan sebagaimana yang disebutkan Rasulullah saw. dalam beberapa riwayat tentang pejuang yang baik.

Marilah kita menyelusuri perjalanan dakwah 
Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Beliaulah yang disebutkan Hasan Al Banna sebagai orang yang sebaik sahaja pulang dari bekerja, beliau sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah dan kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari detik ke detik secara ‘maraton’. Beliau selalu berpindah-pindah dari satu kota ke kota lain untuk menunaikan amanah dakwah. Akan tetapi, sesudah menunaikan tugas dakwah dengan sebaik-baiknya, beliau merupakan orang yang pertama sekali datang ke tempat kerjanya. Malah, beliaulah yang membukakan pintu gerbang pejabatnya.

Pernah beliau mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat kondisi tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tamunya itu tertidur sampai bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al-Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail meminta izin untuk ke kota lainnya. Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali memberikan duit untuk beliau menaiki taksi. Abdul Fattah mengembalikannya sambil mengatakan,
 Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.” Zainab pun menjawab, “Aku sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi aku tetap dapat memikul dakwah ini dan aku pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Karana itu, pakailah duit ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.” Beliau pun menjawab, Berbahagialah ibu. Ibu telah berhasil menghadapi ujian Allah swt. berupa kenikmatan-kenikmatan itu. Namun, saya khuatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kenderaan awam sahaja.” :nangis: 

Itulah contoh orang yang telah membuktikan kesetiaannya pada dakwah lantaran keyakinannya terhadap janji-janji Allah swt. Janji yang tidak akan pernah dimungkiri sedikit pun. Allah swt. telah banyak memberikan janji-Nya pada orang-orang yang beriman yang setia pada jalan dakwah berupa berbagai anugerah-Nya. 
Sebagaimana yang terdapat dalam Al-Quran.

يِا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إن تَتَّقُواْ اللّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَاناً وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ] الأنفال : 29]
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (al-Anfal ; 29)

Dengan janji Allah swt. tersebut, orang-orang beriman tetap bertahan mengharungi jalan dakwah ini. Dan mereka pun tahu bahawa perjuangan yang berat itu sebagai kunci untuk mendapatkannya.
Semakin berat perjuangan ini semakin besar janji yang diberikan Allah swt. kepadanya. Kesetiaan yang bersemayam dalam diri mereka itulah yang membuat mereka tidak akan pernah menyalahi janji-Nya. Dan, mereka pun tidak akan pernah mau merubah janji kepada-Nya.

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً] الأحزاب : 23]
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar, menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzab ; 23)

Pernah seorang pejuang Palestin yang telah lama meninggalkan kampung halaman dan keluarganya untuk membuat mencari dukungan dunia dan dana ditemubual; 
“Apakah yang membuat anda dapat meninggalkan keluarga dan kampung halaman sebegini lama?” Jawabnya, “Kerana perjuangan. Dan, dengan perjuangan itu kemuliaan hidup mereka lebih bererti untuk masa depan bangsa dan tanah airnya. Kalau bukan karena dakwah dan perjuangan, kami pun mungkin tidak akan dapat bertahan,” ungkapnya lirih.

Aktivis dakwah sangat menyakini bahawa kesabaran yang ada pada dirinyalah yang membuat mereka kuat menghadapi pelbagai rintangan dakwah. Jika dibandingkan apa yang kita sumbangkan serta apa yang kita harungi dalam jerit perih perjuangan di 
hari ini dengan keadaan orang-orang terdahulu dalam perjalanan dakwah ini, belumlah seberapa. Pengorbanan kita di hari ini hanyalah secebis pengorbanan waktu untuk dakwah, secubit pengorbanan tenaga dalam amal khairiyah untuk kepentingan dakwah dan sekelumit pengorbanan harta dari keseluruhan harta kita yang banyak. Cubalah bandingkan dengan pengorbanan orang-orang terdahulu, ada yang disisir dengan sisir besi, ada yang digergaji, ada yang diikat dengan empat ekor kuda yang berlawanan arah, lalu kuda itu dipukul untuk lari sekencang-kencangnya hingga robeklah orang itu. Ada pula yang dibakar dengan tungku yang berisi minyak panas. Mereka dapat mengharungi kegetiran ini kerana kesabaran yang ada pada dirinya. :nangis:

Kesabaran adalah kubu pertahanan orang-orang beriman dalam meniti perjalanan ini. Bekal kesabaran mereka tidak pernah berkurang sedikit pun kerana keikhlasan dan kesetiaan mereka pada Allah swt.Bila kita memandang kehidupan generasi pilihan, kita akan temukan kisah-kisah rang yang menakjubkan yang telah menyuburkan dakwah ini. Muncullah pertanyaan besar yang harus kita tujukan pada diri kita saat ini,
“Apakah kita dapat menyemai dakwah ini menjadi subur dengan perjuangan yang kita lakukan sekarang ini atau kita akan menjadi generasi yang hilang dalam sejarah dakwah ini?”
Ingat, dakwah ini tidak akan pernah dapat dipikul oleh orang-orang yang manja. Ketabahan, keseriusan dan kesungguhan aktivis dakwah merupakan kenderaan yang akan menghantarkannya kepada kejayaan dan kegemilangan. Semoga Allah menghimpunkan kita dalam kebaikan. Wallahu’alam.

Adaptasi dari tulisan : Drs. DH Al Yusni


kita?ujian nya mungkin berbeza..apabila keluar seorang anak muda dari tempat pengajian perkara pertama yang datang ialah pekerjaan. Pekerjaan akan menjadi ujian pertama setelah keluar..di antara dilema bekerja supaya dapat membantu keluarga atau bekerja full time dengan Islam. Perkara ini sering kali menghantui kita..solusinya ada pada diri. 'Bekerjalah sebagai apa pun jangan lupa pada perjuangan' ini kata Pak Long..kalau kita mampu untuk menahan telinga dari mendengar leteran keluarga apabila bekerja dengan Islam silakan..kita sering digambarkan apabila bekerja dengan Islam gajinya sikit..pendapatannya tak seberapa..tak mampu untuk menampung keluarga...pemikiran ini yang kadang-kadang menyebabkan kita sendiri takut untuk menghadapi realiti. Namun tidak dinafikan 'segala-segalanya memerlukan duit, TETAPI duit bukan segala-galanya'. Semuanya bergantung kepada keyakinan kita pada Janji Allah Yang PASti. InsyaAllah..moga kita semua ISTIQAMAH..

untuk adik yang telah mendapat kerja jangan risau..ini adalah ujian buatmu. kerja lah apa pun..Kerja Islam jangan tinggal. Anggap saja pekerjaan itu seperti masa kita sedang belajar. Islam no 1, Study juga no 1...sekarang ubah slogan itu menjadi Islam no 1, Kerja juga no 1...insyaAllah moga Allah permudahkan..

'jangan lupa beli kereta senang sikit nak bergerak :)'


"Hai orang-orang yang beriman, jika engkau menolong agama ALLAH, nescaya DIA akan menolong kamu dan meneguhkan kamu." (Surah Muhammad : Ayat 7)


Baitul Irfan

3/29/10

Bukti Islam Membenarkan Hiburan

KOTA BHARU, 28 Mac – Penganjur Konsert Jom Heboh yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, di sini malam tadi mengotakan janji untuk mematuhi syarat dikenakan kerajaan negeri, antaranya pengasingan tempat duduk antara penonton lelaki dan perempuan.

Selain itu hanya artis lelaki – tiada artis perempuan sebagaimana lazimnya – yang membuat persembahan pada konsert Jom Heboh pertama selepas pelancaran di Stadium Bukit Jalil hujung Februari lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Media Prima, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan, pihaknya bercadang untuk menjadikan konsert Jom Heboh di Kota Bharu sebagai model bagi konsert seterusnya di negeri-negeri lain bermula di Johor Bahru selepas ini.

Sambil melahirkan rasa kagumnya di atas sambutan amat menggalakkan Ahmad Farid secara jujur mengakui Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya bagi penganjuran program Jom Heboh selama dua hari.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan Insya-Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan negeri,” katanya.

Menurut beliau, pihak penganjur tiada masalah untuk memenuhi syarat dikenakan kerajaan negeri termasuk pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita serta tiada persembahan melibatkan artis wanita.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.. kita akur akan syarat dikenakan.. begitu juga Baginda Tengku Mahkota Kelantan yang berangkat pada hari pertama program (Jumaat).. Baginda sangat gembira melihat rakyat negeri ini mengambil kesempatan membawa bersama keluarga masing-masing khasnya bagi mengikuti program Al-Kulliyyah.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka di bahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui sejurus konsert berakhir malam tadi.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton, kebanyakannya golongan muda mudi membanjiri segenap ruang Stadium Sultan Mohd Ke-IV untuk mengikuti konsert Jom Heboh yang pertama kali berlangsung di negeri ini.

Antara artis yang mengadakan persembahan malam tadi termasuk Kumpulan Raihan, Yassin (bekas anggota kumpulan nasyid Brothersa), Jamal Abdillah, Jay Jay dan artis dikir barat tersohor negeri ini, Megat Nordin.






Ini membuktikan Islam membenarkan hiburan cuma ada syaratnya. Indahnya Islam kerana menyediakan jalan penyelesaian kepada setiap masalah yang ada..tinggal lagi manusia sahaja yang tidak mahu mengamalkannya. Islam is the way of life.

Menyukat Degup Jantung Negara di Memali

Dua minggu lalu saya kembara ke Kedah. Saya ke Memali sebenarnya. Saya menyukat degup jantung negara. Rancangan awalnya saya hanya ingin ke sebuah madrasah di Padang Lumat — berceramah syahdu sambil menderma buku. Tapi, terlanjur dekat, saya terindu ke Memali.

Selama ini saya hanya mendengar sejarah pilunya. Sekelompok pendakwah di situ diwarnakan sebagai penyebar ajaran sesat yang jati.

Dakwaan pedih itulah yang mendorong saya untuk mencari setitis kebenaran seputarnya. Kisah peristiwa Memali berdarah itu sebenarnya tertinggal di simpang jalan. Kita dipamerkan dua buah lukisan abstrak yang sangat berantakan. Dari sisi pemerintah, kelompok pendakwah ini 'sah' penyebar ajaran sesat. Tapi, dari sisi keluarga Allahyarham Ibrahim Libya, kelompok itu diluhuri perjuangan syahid.

Saya cuma ingin menaati pesanan Ka'ab bin Malik. Kebenaran sangat utama. Sahabat Rasulullah s.a.w itu bercakap benar. Ka'ab mengakui kesilapannya terlupa menyertai rombongan pejuangan syahid ke Tabuk. Allah Yang Maha Kuasa memaafkan dosa hambanya itu kerana ketulusan pengakuan hamba tersebut. Saya coba mengunyah iktibar di sebaliknya.

Dalam negara kita kini memang banyak kecuaian sedemikian. Lihatlah - terhidu wabak menyonglap dana; tersebar istilah berubah makna; terpercik ghaib enjin 'jet' sendiri; tertular pejuWang melelong diri.

Apabila kita mula ghairah menimbus kebenaran sebagai kepalsuan — dan serentak — menggali kepalsuan sebagai kebenaran, kita mereputkan akar peribadi bangsa. Jika berlanjut, kita bakal menjadi bangsa yang sebal.

Lihat, kita sudah jarang mengingati Visi 2020. (Adakah lagi wawasan itu?) Kita semakin jarang menyebut agenda pertingkat penduduk ke 40 juta. (Memang adakah dasar rasminya?) Kita mula melupai Islam Hadhari. (Apakah kini memang harinya terhad?)

Sebaliknya, dalam rahsia, kita mula mempertanya tentang kerugian bilionan di bawah kuasa dua orang bekas Perdana Menteri; berhujah tentang pencemaran makna 'royalti'; berdebat tentang mengapa selepas 6 Perdana Menteri Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam?

Oleh : A. Samad Said

3/21/10

Jaulah ke Rumah Ustaz Zainul Asri

Jaulah ke rumah Ustaz Zainul Asri Bin Haji Ramli. Jaulah yang sangat bermakna. Kami tiba di rumah ustaz jam 5.00 petang selepas solat asar di Masjid Pokok. Seusai kami sampai di rumah ustaz atau panggilan mesra Pak Long hujan renyai-renyai. Hujan rahmat nampaknya. Alhamdulillah...aku ingat Pak Long tinggal di rumah kampung..rupanya rumah taman. rumah yang sederhana...penuh dengan buku-buku di ruang tamu. Tujuan kami ke rumah Pak Long adalah untuk melantik beliau sebagai penasihat kami.



Sesi Taujihat dari Pak Long

Penyampaian cenderahati dari Timbalan Presiden Alumni

Walaupun hujan, tapi kami semua menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang ingin di sampaikan dari  Pak Long. Alhamdulillah Pak Long menerima pinangan kami sebagai penasihat. Terima kasih Pak Long..

Untuk apa hidup dunia? kita semua ini sedang mempersiapkan jawapan kepada setiap persoalan Allah kelak. Atau dengan kata lain kita sedang mencipta seni kematian kita. Manusia akan larut dengan suasana bila mana kita sentiasa menyibukkan diri kita dengan dunia. Kita menginginkan mati syahid tapi persolannya adakah kita layak untuk mendapat 'title' ini? cita-cita besar tapi usahanya tak ke mana. Ada masalah sikit pun sudah tak keruan di buatnya.

Jika dilihat contoh yang ada..Ustaz Azizan sepenuh masanya untuk Islam. sehinggakan rumah pun tiada. Rumahnya di Alor setar milik isteri pertama...rumah yang kedua menumpang di Markas Jerai bersama isteri ke dua... memang layak lah Allah memberi kemenangan kepada Kedah. Rijalnya berusaha dengan bersungguh-sungguh dari susah sampai ke senang. Ustaz Mohd Yahya..Ustaz Musoddak..Ustaz Nasir...Dr Ismail...semuanya golongan pemuda yang sepenuh masa dengan Perjuangan...kita??

Jauh lagi perjalanan kita untuk mendapat Syahid di JalanNya..kata Pak Long kalau tak dapat nak buat apa untuk perjuangan pergi sapu sampah di Markas pun sudah cukup. perjuangan memerlukan bukti bukan untuk ditunjukkan kepada manusia tetapi sebagai bukti di hadapan Allah kelak.

Peliharalah cahaya yang Allah berikan ini..jangan sampai cahaya ini semakin hari semakin malap. Biar ia menerangi kita sehingga terbakar kerana perjuangan. Setiap dari kita sedang mencipta kamus perjuangan masing-masing. Pesan Pak Long lagi..nanti jika ada di kalangan sahabat kita yang meninggal..ambik cuti pergi ziarah. Untuk apa?? untuk melihat adakah jual belinya diterima Allah...di antara alamat orang yang mati syahid ialah :

1- Berpeluh
2- Matinya dalam keadaan tersenyum
3- Keluar air mata

Akhir kalam dari Pak Long..berdoalah moga kita sentiasa ISTIQAMAH di jalan Ini. Moga Allah mengira setiap kerja buat kita. InsyaAllah..terima kasih ya Allah kerana memilih aku untuk berada pada petang itu mendengar taujihat LIVE dari Pak Long..moga kita semua ISTIQAMAH..INSYAALLAH..





Kem Anak Soleh


Salam...selesai sudah Kem Anak Soleh ( Nelayan ) selama 4 hari 3 malam di Pokok Sena. Terima kasih kepada semua barisan ajk pelaksana dan fasilitator yang bertungkus lumus untuk menjayakan kem pada kali ini. Seramai 170 orang peserta telah menghadiri program dan 26 orang fasilitator. Semua anak-anak ini di kalangan anak-anak nelayan di sekitar Kuala Kedah, Yan, Tanjung Dawai dan Kuala Sanglang.


Kehadiran anak-anak nelayan sebanyak 4 biji bas.


'nak balik-nak balik' Fc tengah memujuk sorang adik yang menangis nak balik. Alhamdulillah berjaya di pujuk...dan kemudian dia yang menjadi adik yang aktif dalam program.



Sesi tadarus selepas maghrib. terima kasih kepada kakak dan abang fc yang mencurah bakti mengajar adik-adik ini belajar  mengaji.


Praktikal Solat...terima kasih kak Nani



Berdasarkan graf di atas menunjukkan peratus peserta yang bermasalah adalah di kalangan peserta yang kurang didikan Agama, kurang perhatian daripada ibu bapa dan juga tidak tahu menulis dan membaca. Manakala peratus seterusnya ialah di kerana berlaku perceraian di kalangan ibu bapa. Dan peratus yang terakhir ialah kerana waris yang menjadi penagih dadah.

                Mengikut kajian yang dijalankan kepada peserta kurangnya didikan agama adalah kerana ibu bapa juga kurang agama namun tidak menghantar anaknya ke kelas pengajian agama. Selain itu hal ini adalah kerana mereka adalah di kalangan anak nelayan yang kurang masa di rumah. Nelayan akan mula keluar dari rumah dari pagi sampai ke malam. Menyebabkan masa bersama anak-anak adalah terhad. Tanggungjawab di berikan sepenuhnya kepada isteri.

                Di samping itu, masalah kewangan yang berlaku menyebabkan ibu bapa tertekan dengan suasana lalu mengabaikan anak-anak. Taraf hidup yang semakin tinggi menyebabkan tekanan ekonomi semakin meningkat. Tanpa didikan agama yang cukup akan menyebakan mereka tiada tiada pegangan lalu hanyut dengan suasana. Dan akhirnya terkesan kepada anak-anak masing-masing. Masih banyak tanggungjawab kita yang perlu untuk diselesaikan.

Tunggu untuk Kem Anak Soleh siri yang seterusnya. Terima Kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah yang menganjurkan program yang bermanfaat ini. Terima Kasih sekali lagi kepada semua FC dan Ajk Pelaksana yang turut menjayakan program ini. Alhamdulillah...








3/11/10

Al-Fatihah Ke Atas Syeikh Al-Azhar Mohamed Sayyid at Tantawi




Kematian yang mengejutkan para pencinta ilmu agama, khususnya mereka dari kalangan Al-Azhari ekoran kematian mengejut Syeikh Al-Azhar, Mohamed Sayyid at Tantawi pada pagi 10 Mac, Rabu di Lapangan Terbang Riyadh.

Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung yang kritikal, semasa usia beliau menjangkau 82 tahun.

Semoga pemergian beliau dirahmati Allah dan sentiasa berada di dalam keampunan Allah.

Al-Fatihah.....

3/9/10

Kasihnya Ayah



 TN HJ MOHAMAD HANIF 


Rupanya tarikh ulngtahun kelahiran abg saya ialah pada 8 februari. Mgg saya akui kecuaian ini.  Sesuatu yg best tentang abg saya ni pada minggu harijadinya, dia akan call dan kami borak panjang sebb mnggunakan  panggilan percuma celcom . Terimakasih juga kpda celcom meraikan kelahiran seseorang, pencetus perhubungan dan pengikat kasih sayang

Saya amat menghargai kehadiran abang merangkap ketua keluarga saya kini. Walaupn abg ank kedua
tetapi merupakan anak sulung  lelaki dari family kami yg sebelas org. Seorang anak, abg , bapa saudara, suami dan ayah kepada 3 org anak yg berjaya.

Kini abg turut menjaga emak di kg. Seusai subuh di masjid, pastinya di kunjungi  rumah emak bersama sarapan pagi. Walaupun mak mampu menyediakan sendiri, tetapi pemberian abang tetap diraikan. Kadang mak mnjamah dan kadang2 mnjadi rezeki anak2 saudara yg lain selpas pulang sekolah nnti.

Selepas ketiadaan ayah, saya akui abg mat begitu mngambil berat tentang keluarga kami. Semasa adik dan kakak saya menunaikan ibdah haji 2009, abg sering bertanya khabar mereka hampir setiap hari dan info itu akan dikongsikan degn adik2 yang lain juga.  Begitu juga sekiranya saya memandu kereta dlm perjlnan dari/ke KL-Pendang , hampir setiap jam dia akan memantau saya (sebenarnya abg risau keselamatan saya selagi say belum samapai ke destinasi). Betapa abg mengambil tugas ayah memastikan keselamatn adik2nya. Terimakasih ALLAH
Munajat saya pada ya ROBB, berikan rahmat dan kasih sayang yg berterusan buat abg Mat , peliharalah amal ibadatnya dan berikanlah nikmat kesihatan, kebahagiaan dan ketenangan buatnya. Abang sesungguhnya dirimu amat bermakna  dan ketegasanmu mmbuatkan kami akur dan kasih sayangmu mmbuatkan kami menghormatimu. Ya ALLAH, ganjarilah pahala atas setiap kebajikan abg dan berkatilah kehidupannya. Betapa saya bahagia mempunyai abg dansaya sayang abg.
edition from http://ainhany.blogspot.com
cu minta izin paste kat sini ya...x sempat nak menulis. sms dan telefon saja...:) abang cu aka ayah saya..